LAUDA (kiri) sering memberi nasihat dan panduan kepada Hamilton. — FOTO Agensi
Reuters

JUARA Formula Satu dunia lima kali, Lewis Hamilton menyanjung Niki Lauda yang disifatkan sebagai ‘penerang cahaya’ dalam kehidupannya dan menyatakan dia tidak akan ke Mercedes tanpa pembabitan legenda dari Austria itu.

Lauda, juara dunia tiga kali dilabel sebagai seorang daripada ahli sukan terhebat sepanjang zaman, adalah pengerusi bukan eksekutif pasukan Mercedes apabila beliau meninggal dunia awal pagi semalam pada usia 70 tahun.

“Rakanku, saya bergelut untuk percaya anda sudah tiada,” kata Hamilton menerusi akaun Instagram menjelang saingan Grand Prix Monaco hujung minggu ini.

“Saya akan merindui perbualan kita, ketawa kita, pelukan selepas menang perlumbaan bersama-sama.


HAMILTON (kanan) bercakap dengan Lauda pada GP Bahrain lima tahun lalu. — FOTO EPA

“Ia penghormatan sebenar bekerjasama dengan anda sejak tujuh tahun lalu. Saya tidak akan berada dalam pasukan ini jika bukan kerana anda.”

Lauda adalah individu penting memujuk Hamilton untuk meninggalkan McLaren, pasukan dia memenangi gelaran sulung pada 2008 dan menyertai Mercedes ketika pengeluar dari Jerman itu masih belum menjadi pasukan dominan.

Sesetengah pengkritik di paddock berasakan pemandu Britain itu membuat satu kesilapan, meninggalkan pasukan yang dibina untuknya ke pasukan yang masih belum merasai kejayaan dan jauh daripada dirasakan mampu melakukannya.

Hamilton kemudian menang kejuaraan pada 2014, 2015, 2017 dan 2018 dan hanya terlepas kepada rakan sepasukan yang sudah bersara, Nico Rosberg pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:07 AM