Agensi

TOTTENHAM “menggantung sementara” tiga pemegang tiket bermusim yang menyenaraikan tiket final Liga Juara-Juara di laman web jualan semula.

Spurs berdepan Liverpool di Madrid pada 1 Jun ini, dengan setiap pasukan menerima 17,000 tiket di Stadium Wanda Metropolitano dengan kapasiti 63,500.

Sejak 1994, individu yang tidak mendapat kebenaran diharamkan menjual tiket.

Liverpool turut menyiasat lima penyokong yang menyenaraikan tiket final mereka untuk dijual di platform jualan tiket.


WANDA Metropolitano, gelanggang final Liga Juara-Juara. — FOTO AFP

Reds menyatakan mereka boleh digantung seumur hidup daripada hadir di Anfield.

Spurs meminta penyokong supaya tidak “menjejaskan satu daripada saat paling besar dalam sejarah kelab itu dengan menjual tiket anda dan membuat untung daripada penyokong lain.”

Kelab Liga Perdana Inggeris itu turut menyatakan mereka akan membatalkan tiket perlawanan jika mendapati ia dijual oleh penyokong selepas mengambilnya.

“Sekali lagi, kami ingin mengingatkan kepada semua penyokong bahawa mana-mana tiket yang dibeli adalah bagi kegunaan individu yang membelinya dari kelab,” menurut satu kenyataan.

BBC melaporkan minggu lalu tiket final Liga Juara-Juara dijual dl laman web jualan semula Stubhub dengan harga bermula dari 3,450 euro (RM16,120).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:40 AM