NURUL Azurin Mazlan (belakang kanan) bersama skuad Melaka United.
Nazri Abu Bakar

SKUAD Piala Tun Sharifah Rodziah, Melaka United (MU) tidak cemas walaupun kini hanya menduduki tangga ketiga carta saingan liga terbabit.

Sebaliknya aksi rehat pada Ramadan dan Syawal akan digunakan sebaik mungkin jurulatih dan pengurusan merancang strategi bagi mengharungi baki tiga lagi perlawanan selepas bersambung kelak.

Penolong pengurus MU, Abdullah Mat Derus berkata, keputusan menang sekali ke atas Kedah 3-0 dan seri dua kali ketika berdepan PDRM (2-2) dan Selangor (1-1) bukan menggambarkan skuad berkenaan berada dalam zon bahaya melangkah ke separuh akhir.

Namun, menurutnya, skuad bimbingan Jamil Hassan itu bakal bangkit bagi memenangi aksi bertemu Perak, ATM dan Kelantan.

“Berada di tangga ketiga carta hanya sementara dan tidak mencemaskan dalam usaha mencapai misi layak ke separuh akhir. Sejurus itu, kita berusaha mengintai tempat ke final dan menjuarai saingan musim ini.

“Kami tetap bertekad untuk muncul juara buat pertama kali dalam sejarah kejohanan dan penyertaan pasukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan PDRM antara pencabar terkuat liga berikutan The Cops kini mengungguli carta liga selain The Red Giants dan Helang Merah yang juga dijangka tiada masalah ke separuh akhir.

Sebelum ini, skuad Hang Tuah menyenaraikan 13 pemain kebangsaan membarisi pasukan sekali gus menuai hajat menebus kehampaan tewas pada aksi final di tangan Kedah musim lalu.

Antara pemain negara yang menyertai skuad berkenaan termasuk kapten kebangsaan Shereilynn Elly Pius, Dadreee Rofinus, Jaciah Jumilis dan Nurul Azurin Mazlan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:06 PM