PENYOKONG Terengganu FC berkumpul di pekarangan stadium sebagai tanda protes selepas tewas kepada PJ City.
PENYOKONG Terengganu FC berkumpul di pekarangan stadium sebagai tanda protes selepas tewas kepada PJ City.
Malik Muhamad

‘KAMI tidak boikot’. Itu reaksi Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Arifin ketika ditanya adakah peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) memboikot pasukan itu susulan aksi merudum sebelum ini.

Beliau menyatakan penyokong setia skuad Penyu tetap berdiri teguh di belakang pasukan demi menyuntik semangat pemain setiap kali mereka turun beraksi.

Semalam, pemain pertahanan TFC, Igor Zonjic menuntut peminat setia tidak memboikot aksi pasukan terutama ketika bertemu Selangor di gelanggang sendiri Jumaat ini.

"Kami tidak boikot pasukan sebaliknya kelab sentiasa memberikan sokongan padu kepada pemain sebagai tanda kesetiaan kepada pasukan pada setiap perlawanan.

"Ini kerana kami mahukan semua pemain menyajikan persembahan terbaik dan bukannya beraksi sambil lewa setiap kali beraksi untuk mencatat kemenangan tetapi jika tewas selepas memperagakan aksi terbaik itu tidak mengecewakan kami," kata Isa.

Pada 14 Mei lalu, kira-kira 200 peminat setia mengadakan perhimpunan aman di luar pintu masuk utama Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah susulan kekalahan memalukan 3-5 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) biarpun sudah mendahului 3-0.

Berikutan itu, sehari selepas kekalahan itu, ketua jurulatih skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut ketika mesyuarat khas Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Mengulas lanjut, Isa bagaimanapun menuntut ketua jurulatih sementara, Nafuzi Zain lebih bijak mengatur strategi terutama bertemu Selangor di laman sendiri pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:23 PM