TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. - FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

PERSATUAN bola sepak negeri dan kelab yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) digesa tidak cepat melatah berhubung kelewatan pembayaran geran tahunan yang menjadi isu ketika ini.

Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tidak ada sebarang agenda berhubung isu berkenaan selain hanya mahu menjaga kepentingan semua pemegang taruh Liga M.

Katanya, semua pihak erbabit dalam industri bola sepak berhak bertanya tetapi biarlah soalan yang ada matlamat dan bukan membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejas nama baik MFL.

"Agak pelik apabila ada cuba menjadikan isu. Adakah MFL ada agenda lain yang menyebabkan geran tahunan lambat diagihkkan. MFL ada satu sahaja agenda iaitu untuk memajukan bola sepak tanah air.

“Itu merupakan agenda utama MFL dan saya menghormati pandangan soalan beliau (Datuk Seri Mukhriz Mahathir). Malah semua pasukan berhak dan diberi kebebasan untuk bertanya.

"Untuk makluman, perancangan kami tergugat selepas perjanjian dengan Telekom Malaysia (TM) ditarik balik oleh penaja berkenaan tatkala semuanya sudah dibuat namun bajet yang sepatutnya terjejas.

"Saya pun ada soalan juga mengapa sebelum ini selama 30 tahun lalu tiada bantuan dana sejumlah RM3 juta untuk Liga Super dan RM1.5 juta untuk Liga Perdana tidak dipertikai tetapi akibat kelewatan yang minimal ada pihak mula bersuara," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Mukhriz berharap tiada agenda tertentu daripada MFL hingga proses pemberian geran tahunan bagi musim ini masih lagi ditangguh.

Pada masa sama, beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) juga berkata penangguhan terlalu lama secara tidak langsung memberi tanggapan negatif kepada badan berkenaan di kalangan pasukan bertanding.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail berkata MFL bukan mencari alasan sebaliknya sentiasa berusaha membantu semua pasukan dan berjanji akan menyelesaikan isu geran tahunan dan akan tetap menyerahkan kepada semua pasukan pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:35 PM