ALMARHUM Sultan Ahmad Shah mententeramkan penyokong yang masuk dan duduk di atas balapan stadium akibat kepadatan penyokong ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur pada 28 Mei 2013.
Meor Riduwan Meor Ahmad

ALMARHUM Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku penaung Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) sejak kira-kira 35 tahun dulu amat mesra dan melayan media dengan penuh profesional.

SAM turut merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan baginda.

Presiden SAM, Jasni Shafie dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kemangkatan baginda adalah kehilangan besar kepada pengamal media sukan tanah air kerana ketika hayatnya Almarhum amat mesra dengan pihak media dan sering memberi sokongan tidak berbelah bagi demi kemajuan sukan Malaysia.

"Banyak kenangan manis yang dirakam ketika baginda memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Asia yang mana pihak media dilayan penuh profesional tanpa sekatan protokol.

"SAM pada 1981 pernah menganugerahkan penghormatan Peminat Utama Sukan Negara kepada baginda diatas kesungguhan membantu pembangunan sukan negara ketika itu. "Baru-baru ini juga SAM mempersembahkan Anugerah Sepanjang Hayat (ASH) kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah pada majlis Anugerah SAM-100Plus yang berlangsung 10 April 2019 sebagai penghormatan tertinggi atas sumbangan baginda kepada sukan negara. "Anugerah berkenaan diterima oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah," katanya.

Menurut Jasni, ASH itu adalah pengiktirafan tertinggi yang ikhlas dan tepat kepada Almarhum atas jasa baginda kepada pembangunan sukan negara.

"Sesungguhnya warga media sukan negara amat merasai kehilangan Almarhum dan akan sentiasa merindui raja berjiwa rakyat itu. Moga Allah merahmati dan mencucuri rahmat ke atas roh baginda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 7:02 PM