DUA pemain JDT cuba mengekang kelincahan penyerang Gyeongnam FC di Stadium Bolasepak Changwon. - FOTO Agensi
Firdaus Hashim

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengakhiri kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tangga tercorot Kumpulan E selepas tewas kepada Gyeongnam FC 0-2 di Stadium Bolasepak Changwon, Korea Selatan, sebentar tadi.

Kekalahan kelima daripada enam aksi peringkat kumpulan itu menyaksikan juara Liga Super lima kali berturut-turut itu sekadar berpuas hati mengumpul empat mata selepas menang 1-0 ke atas juara bertahan dari Jepun, Kashima Antlers dan seri 1-1 bertemu Gyeongnam FC dengan kedua-dua aksi di Larkin.

Biarpun gagal mara ke pusingan seterusnya, namun pencapaian skuad Harimau Selatan meraih empat mata pada penampilan pertama di saingan tertinggi Asia itu dianggap terbaik buat wakil dari rantau Asia Tenggara itu.

Pada aksi sebentar tadi, anak buah Benjamin Mora berjaya memberi tentangan sengit kepada naib juara Liga Korea Selatan musim lalu itu namun dihampakan dengan tindakan penyudah yang kurang menyengat.

Gyeongnam FC yang sesekali menyerang berjaya menggegar jaring pada babak kedua menerusi Luc Castaignos minit ke-64 sebelum Takahiro Kunimoto mencatat nama di penghujung saingan.

Dalam satu lagi aksi, Kashima Antlers bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Shandong Luneng di Stadium Kashima sekali gus kedua-dua pasukan itu mara ke peringkat kalah mati.

Shandong Luneng muncul juara kumpulan dengan 11 mata manakala Kashima Antlers di tangga kedua dengan 10 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 8:19 PM