NUR Dhabitah raih gangsa acara 3 meter papan anjal di London.
Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih terjun negara, Christian Brooker nyata mampu menarik nafas lega dengan pencapaian anak buahnya pada Kejohanan Terjun Siri Dunia Fina di London menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menyifatkan pencapaian rata-rata barisan penerjunnya pada edisi kali ini cukup membanggakan terutama sekali selepas Nur Dhabitah Sabri menyumbang pingat gangsa. "Kami mencapai matlamat apa yang sudah disasarkan. Jelas sekali matlamat di kejohanan ini adalah untuk menimba pengalaman sebagai persediaan ke Tokyo.

"Saya sangat bangga dengan prestasi setiap penerjun negara yang profesional dan berdisiplin sepanjang kejohanan.

"Hampir kebanyakan daripada mereka masih muda dan banyak lagi perlu dipelajari. Saya gembira dengan kesungguhan setiap penerjun muda negara ini serta penerjun senior yang memberi tunjuk ajar kepada atlet lebih muda," katanya.

Brooker juga melihat kejayaan Dhabitah meraih gangsa banyak didorong sikapnya yang mampu mengatasi tekanan tinggi.

"Dia sangat bekerja keras sejak beberapa bulan lalu dan usahanya itu mula membuahkan hasil," katanya mengenai Dhabitah yang meraih gangsa dalam acara 3 meter papan anjal. Ia pingat pertama Dhabitah di kejohanan siri berkenaan yang mula disertai atlet itu tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 10:02 PM