SARRI (kanan) berkata sesuatu kepada pembantunya, Gianfranco Zola ketika sesi latihan Chelsea di Pusat Latihan Cobham, semalam. - FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri berkata, kejayaan ke atas Arsenal dalam aksi final Liga Europa minggu depan bakal menjadi pelengkap musim indah kelab itu.

Walaupun berdepan kritikan hebat penyokong di Stamford Bridge dia masih mampu membawa Chelsea menduduki tempat ketiga carta Liga Perdana.

Mereka juga mara ke final Liga Europa dan bekas pengendali Napoli itu berkata mereka berhak menikmati kejayaan.

"Saya fikir kami mempunyai musim yang bagus walaupun berdepan banyak masalah. Kami tewas dua atau tiga perlawanan dengan sangat teruk tetapi akhirnya sangat baik di penghujung,” katanya kepada wartawan menjelang aksi menentang Arsenal di Baku, Azerbaijan minggu depan.

"Sekarang kami berentap di final Liga Europa jadi ia adalah musim yang bagus dan jika kami menjuarainya sudah tentu menjadi musim indah buat kami.”

Sarri yang kontraknya berbaki dua tahun enggan memperkatakan mengenai masa depannya di Stamford Bridge musim depan sambil menegaskan masa depannya adalah perlawanan dengan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:24 PM