LI Jane tewas 10 pin di tangan pemain Ukraine.
Nor Hairulnizam Wahid

HARAPAN Sin Li Jane untuk dimahkotakan kejuaraan Kejohanan USBC Queens di Kansas tidak kesampaian apabila muncul naib juara, tewas 10 pin kepada pemain Ukraine, Dasha Kovalova 216-226 pada final aksi stepladder hari ini.

Li Jane, juara Terbuka Lincoln 2017 yang sebelum itu diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, berjaya mengekang kemaraan Clara Guerrero dari Colombia 267-224.

Li Jane ketika dihubungi mengakui gembira dengan pencapaian dan prestasinya sepanjang beraksi pada Kejohanan USBC Queens minggu ini.

“Bukan mudah untuk berada di tahap terbaik dan saya sudah lakukan apa yang termampu. Ini kali pertama saya berdepan dengannya (Dasha) dalam aksi stepladder,” katanya yang bakal menyertai Terbuka Singapura, Jelajah Masters Boling Eropah dan Terbuka Madrid bulan depan.

Juara Terbuka Malaysia 2018 itu juga menjadi tumpuan kejohanan apabila mempamerkan kekuatan mental menakjubkan untuk mara ke saingan final stepladder.

Dia menang dengan mencatat jatuhan pin 783, 781, 747, 789, 761 dalam lima perlawanan ‘winners bracket’ berturut-turut (setiap satunya membabitkan tiga game) yang dilihat membuktikan betapa kekuatan mental amat penting dalam format kejuaraan seperti itu. “Anda perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal bagi membolehkan anda mengharungi banyak permainan dan berdepan begitu ramai pencabar. Saya bangga berjaya melepasinya.”

Dua lagi pemain negara, Esther Cheah dan Shalin Zulkifli masing-masing menduduki tangga ke-11 dan 14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:34 PM