SYAMIM (tengah) menghalang pergerakan pemain Pahang, Matthew Davies (kiri) di Kuantan, Februari lalu. — FOTO Muhd Asyraf Sawal
Malik Muhamad


SELEPAS diaibkan PJ City di laman sendiri baru-baru ini, pemain sayap Terengganu FC (TFC), Syamim Yahya tidak rela ‘menangis’ lagi di laman sendiri apabila melayan kunjungan Selangor pada aksi Liga Super, malam esok.

Bekas pemain kebangsaan itu juga tidak rela peminat setia skuad Penyu terus berduka apatah lagi kehilangan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan secara mengejut sehari selepas dimalukan 3-5 oleh PJ City.

“Kami sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik bagi menyekat Selangor daripada bermaharajalela di laman kami kerana kami mahu mencatat kemenangan bagi mengintai kedudukan lebih baik dalam liga.

“Lagipun kami sudah rugi ketika tewas 0-1 di Shah Alam pada aksi pusingan pertama, jadi sudah tentu kami tidak mahu tercicir mata lebih-lebih lagi bermain di laman sendiri selain tidak rela rebah lagi, cukuplah sekali tewas kepada pasukan itu,” kata pemain kelahiran Raub, Pahang itu.


KEKALAHAN di tangan PJ City (jersi merah) pada 14 Mei lalu menyaksikan Irfan meletak jawatan. — FOTO Ghazali Kori

Bagaimanapun pemain berusia 29 tahun itu sedar bukan tugas mudah untuk menumpaskan Red Giants yang kini berada pada tahap terbaik.

“Mereka liat untuk ditewaskan tapi dengan sokongan peminat setia kami akan berusaha keras untuk menyaingi mereka,” kata Syamim yang pernah menyarung jersi negeri kelahirannya.

Mengulas lanjut, bekas pemain FELDA United musim lalu itu menyatakan ketiadaan bekas gurunya, Irfan yang memilih untuk meletak jawatan susulan prestasi tidak konsisten pasukan tidak bermakna pasukannya tidak boleh bangkit.

“Jurulatih Irfan meletak jawatan tidak bermakna beliau salah sepenuhnya sebaliknya kombinasi kami tidak berapa menjadi walaupun jurulatih sudah melakukan rombakan pemain hampir setiap perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 10:53 AM