ROWLEY (tengah) bergambar bersama pengurus pasukan Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan (kanan) dan Setiausaha Eksekutif KFA Shahrul Samsudin selepas majlis menandatangan kontrak bersama KFA di Alor Setar, hari ini. FOTO Ihsan KFA
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my

KEDAH memanfaatkan tempoh jendela perpidahan pemain pada Mei ini dengan mengikat pemain tengah kelahiran Australia yang memiliki kewarganegaraan Malaysia, David Rowley untuk tempoh musim 2019.

Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini, pemain berusia 29 tahun itu bakal mengisi kuota pemain tempatan dalam usaha memperkukuhkan skuad Lang Merah kendalian ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak dalam menghadapi jadual padat bermula Jun nanti.

Rowley sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab luar seperti Brisbane City FC (A-League), Inter Leipziq (Divisyen 5 Jerman), Tennis Borussia Berlin, BSC Rehberge Berlin serta beberapa kelab di Thailand iaitu Chumpon FC dan Nara FC sebelum berhijrah ke Malaysia dan beraksi bersama Negeri Sembilan FA dan Kelantan FA.

"Pihak pengurusan mengalu-alukan kehadiran Rowley bagi memberi persaingan sihat buat rakan sepasukan lain dalam memburu kemenangan."

Turut difahahamkan David yang bersama Kelantan pada awal musim ini telah dilepaskan pengurusan kelab berkenaan pada 21 Mei lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berharap David dapat segera menyesuaikan diri dalam pasukan yang kini sedang berusaha keras dalam saingan Liga Malaysia.

"Pertamanya, dia harus sedia bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan," katanya. Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 4:32 PM