SKUAD TFC berdepan tugas getir melayan kunjungan Selangor.
Malik Muhamad

“KAMI harap perlawanan terakhir pada Ramadan ini memberi keceriaan buat pasukan ketika berdepan Selangor malam esok,” kata penolong pengurus Terengganu FC (TFC), Zulfadli Rozi.

Selain itu, beliau juga mengharapkan tuah beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bakal memihak TFC bagi mengembalikan semula keyakinan pemain dan juga penyokong.

“Pemain perlu membuktikan kemampuan di atas padang bertemu The Red Giants dan mengambil peluang beraksi di laman sendiri lebih-lebih lagi pungutan mata amat bernilai buat kami.

“Pemain perlu berusaha lebih keras dan bermain sebagai satu pasukan serta mengikut perancangan sudah diatur barisan jurulatih bagi memburu kemenangan,” kata Zulfadli.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Shah Alam, bekas pemain skuad Penyu, Mohd Faiz Nasir muncul watak pemusnah apabila meledak jaringan tunggal untuk membantu pasukannya menang 1-0 ke atas TFC.

Bercakap sama ada ketua jurulatih sementara, Nafuzi Zain lulus ujian pertama ketika bertemu FELDA United Sabtu lalu, beliau menuntut jurulatih muda itu meningkatkan lagi kualiti permainan anak buahnya biarpun baru mengambil alih tugas itu.

“Beliau sudah lama bersama bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan sudah tentu sudah banyak mengutip ilmu daripadanya, jadi tugas itu harus dipikul penuh tanggungjawab.

“Apa yang perlu diperbaiki ketika seri 1-1 degan FELDA tempoh hari haruslah dilakukan, usah biarkan perkara sama berulang, tingkatkan corak permainan dan perlu yakin.

"Namun begitu saya percaya sebagai jurulatih yang diamanahkan dan tiada tekanan, Nafuzi sudah bersedia dan tahu tugas mereka serta tidak begitu gusar walaupun tanpa kehadiran Ashari Samsudin dan Malik Mat Ariff yang masih lagi dibelenggu kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:46 PM