NEYMAR dijangka tiba pada 28 Mei, enam hari selepas Brazil memulakan persiapan untuk kejohanan Copa Amerika. FOTO Agensi
NEYMAR dijangka tiba pada 28 Mei, enam hari selepas Brazil memulakan persiapan untuk kejohanan Copa Amerika. FOTO Agensi
AFP

PENYERANG handalan Neymar akan menyertai latihan skuad Brazil untuk Copa Amerika esok, tiga hari lebih awal yang dijadualkan menurut kenyataan rasmi hari ini.

“Dia akan tiba esok di antara jam 11 pagi hingga tengahari (waktu tempatan), “ kata pegawai media persekutuan bola sepak Brazil Vinicius Rodrigues di Kompleks Granja Comary di Teresopolis berhampiran Rio de Janeiro.

Neymar, pemain termahal dunia dijangka tiba pada 28 Mei, enam hari selepas Brazil memulakan persiapan untuk kejohanan itu.

Tiada penjelasan diberikan berhubung pertukaran itu.

Media menjangkakan Neymar tiba lebih awal selepas tidak kelihatan pada sesi latihan PSG yang dibuka kepada media.

Rakan sepasukannya Marquinhos dan Thiago Silva, yang juga sebahagian daripada skuad Brazil, turut berada di sana.

Ketika ditanya sama ada Neymar dilepaskan daripada latihan, jurulatih Thomas Tuchel berkata ‘bukan oleh saya’.

Neymar diketepikan daripada dua perlawanan terakhir PSG musim ini dan Trofi Juara-Juara Perancis selepas digantung tiga perlawanan kerana memarahi penonton selepas kekalahan mengejut PSG kepada Rennes pada final Piala Perancis awal bulan ini.

“Neymar adalah pemain terbaik kami. Bagus jika dia ada di sini, dia memberikan kami pengalaman,” kata penjaga gol Manchester City Ederson.

Brazil, juara lapan kali kejohanan itu akan berdepan Bolivia, Venezuela dan Peru pada peringkat kumpulan yang bermula 14 Jun ini, selepas aksi persahabatan dengan Qatar dan Honduras.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:48 AM