Pemain Perak, Ronaldo Silva (kanan) berebut bola dengan pemain Melaka, Muhammad Shukor Adan pada aksi di Stadium Perak. FOTO NSTP/ABDULLAH YUSOF.
Muhammad Apendy Issahak


PERAK gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi apabila tumpas 2-3 kepada pelawat, Melaka.

Ia adalah kekalahan kedua dialami oleh skuad kendalian jurulatih Mehmed Durakovic di tempat sendiri dalam saingan Liga Super musim ini.

Skuad The Bos Gaurus bagaimanapun bermula baik dengan mendahului pada m-18 melalui Brendan Gan yang merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentak dengan jaringan tuan rumah, pasukan pelawat bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan bangkit mencari gol penyamaan dan Mohd Nazrin Nawi yang menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 20 meter menumpaskan Khairul Amri Salehuddin.

Melaka meneruskan rentak cemerlang dan berjaya mendahului melalui pemain importnya Patrick Reichelt yang membuat gerakan solo memperdaya pertahanan Perak dalam kotak penalti dan merembat masuk bola pada masa kecederaan sebelum tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, J Partiban menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada m-57.

Keceriaan pasukan tuan rumah tidak lama apabila Patrick Reichelt sekali lagi menewaskan Khairul Amri dengan jaringan pada m-74.

Asakan Perak untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata tidak berhasil apabila kubu pelawat kebal bertahan hingga wisel penamat mengakibatkan turun satu anak tangga liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 12:20 AM