Pemain PJ City, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gios melompat tinggi pada perlawanan di Stadium Shah Alam. FOTO NSTP/SADDAM YUSOFF.
Firdaus Hashim


PKNS FC kembali menemui rentak kemenangan selepas mengatasi Petaling Jaya City (PJ City) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Datuk K Rajagobal berjaya memadamkan kemarau kemenangan dalam empat aksi sebelum ini dengan kali terakhir meraih tiga mata penuh pada 27 April lalu apabila menundukkan Kuala Lumpur 3-2.

Selepas itu, PKNS sekadar seri 3-3 dengan Perak dan tewas dalam dua aksi berdepan Kuala Lumpur dan Johor Darul Ta'zim masing-masing tumbang 2-1.

Dalam aksi di Shah Alam itu, tonggak import dari Liberia, Kpah Sherman muncul wira dengan meledak dua gol sementara pemain kelahiran Argentina, Gabriel Guerra melengkapkan malam gemilang di depan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, tuan rumah dilihat sedikit bergelut untuk memburu kemenangan apabila diberi tentangan sengit PJ City sepanjang 45 minit aksi babak pertama yang berakhir dengan 0-0.

Aksi lebih kemas ditampilkan tuan rumah dan mereka tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan pada babak kedua apabila Guerra mudah menanduk masuk untuk gol pertama pada m-48.

Selang empat minit kemudian, Sherman meledak gol kedua sebelum penyerang itu menambah derita pelawat di m-71 sekaligus menutup aksi terakhir di bulan Ramadhan dengan keputusan 3-1.

Selepas ini PKNS FC akan meneruskan kempen liga menentang FELDA United di tempat lawan sementara PJ City menanti kunjungan Perak di Kelana Jaya pada 16 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 12:36 AM