JADUAL liga sering berubah di bawah kendalian MFL.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


SELEPAS hampir empat tahun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ditubuhkan, masalah sama membabitkan isu penjadualan liga, kelewatan dana pasukan, kesukaran mencari penaja dan masalah penswastaan tidak pernah berubah bahkan ia lebih parah daripada sebelumnya.

MFL yang sebelum ini dikenali sebagai Kerjasama Liabiliti Bolasepak Malaysia Berhad (FMLLP) diwujudkan bertujuan meningkatkan standard Liga Malaysia (Liga M) ke arah yang lebih baik, namun perubahan diharapkan ternyata meleset sama sekali.

Biarpun MFL berjaya menambah kantung pasukan dengan memberi hak penyiaran kepada setiap pasukan bermula musim lalu, badan pengurusan liga itu tampak berdepan masalah besar kali ini apabila gagal menyediakan dana pada tepat waktunya susulan penarikan diri Telekom Malaysia (TM) selaku penaja liga tempatan hujung Disember lalu.

Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Dr Zulakbal Abd Karim, prestasi MFL di bawah kepimpinan Kevin Ramalingam belum memuaskan apabila masih wujud masalah sama yang berulang ketika liga diuruskan FAM.

Malah, MFL juga dilihat memerlukan tempoh yang agak panjang untuk menyediakan ‘blueprint’ atau hala tuju Liga M, sedangkan FAM yang tidak sampai setahun diterajui Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya melancarkan F:30 atau pelan bola sepak negara pada Oktober lalu.

“Apabila hasrat MFL mengambil alih pentadbiran Liga M daripada FAM ia tidak dinafikan sebagai satu usaha yang bagus untuk ke arah lebih profesional. Namun, Liga M yang berjalan sekarang di bawah MFL dilihat tidak berlangsung dengan lebih baik berbanding ketika dikendalikan oleh FAM dahulu terutama dari segi jadual.

“Saya lihat Liga M dulu dan sekarang sama sahaja dan tiada peningkatan, jadi hasrat MFL untuk memprofesionalkan liga memang belum dicapai sepenuhnya kerana masalah yang sama terus wujud seolah-olah MFL belum ada.

“Sama juga seperti geran yang dijanjikan dan tidak dapat diagihkan selepas penaja utama TM tarik diri, tetapi jika MFL bersedia sepenuhnya pasti mereka sudah mempunyai alternatif lain apabila berdepan perkara sedemikian rupa,” katanya.

Beliau yang pernah membimbing pasukan Selangor United selain berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menegaskan MFL perlu memperbaiki segera untuk membuktikan betapa mereka mampu mencapai sasaran yang dimahukan.

“Apabila kita mahu menswastakan liga, kita perlu lihat kelompok pengurusan yang berada dalam MFL adakah mereka semua tanpa mengira kedudukan sudah diuji dan berjaya mengendalikan liga profesional.

“Mungkin ada seorang dua yang berpengalaman untuk mengendalikan saingan liga. Untuk melabel MFL gagal adalah begitu drastik namun setakat ini, mereka belum berjaya khususnya menangani isu yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Sebaik bermulanya saingan liga pada awal musim ini, MFL tidak lekang dengan pelbagai isu termasuk keputusan membenarkan Perlis bersaing di Liga Perdana yang kemudiannya menyaksikan skuad Singa Utara itu disingkirkan daripada saingan musim ini.

Penarikan diri TM sebagai penaja utama turut menambah kecaman terhadap MFL selain pendedahan ‘enam dalil’ oleh Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, Datuk Posa Majais berkaitan kelemahan urus tadbir seperti isu jadual liga, geran tahunan, masalah insurans pemain, hutang perjalanan pengadil, kelewatan geran dan isu ahli lembaga pengarah MFL yang bukan wakil persatuan bola sepak negeri (FA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:00 AM