VALVERDE pening memikirkan nasib Barcelona. — FOTO Reuters
Reuters

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde percaya beliau boleh terus mengendalikan juara Sepanyol itu sekalipun tumpas 1-2 di tangan Valencia pada final Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi melengkapkan penamat buruk mereka di hujung musim.

Masih dibelenggu kekalahan 0-4 kepada Liverpool pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, Barca membida untuk memenangi piala itu buat tahun kelima berturut-turut namun keputusan itu meningkatkan lagi keraguan mengenai masa depan Valverde.

“Saya berasa bagus (untuk meneruskan tugas), saya sedar untuk kalah di kelab ini sukar buat jurulatih kerana sentiasa ada tanggungjawab dan kadang kala anda membuat kesilapan, tapi anda perlu menanganinya,” kata Valverde kepada wartawan.

“Sebulan lalu kami meraikan kejuaraan La Liga memikirkan untuk memenangi tiga trofi dan kami disingkirkan di laluan pada saat genting.”


MESSI dan rakan sepasukannya kelihatan muram selepas tewas di tangan Valencia. — FOTO Reuters

Barcelona berharap mengulangi pencapaian tiga trofi selepas 2009 serta 2015 dan sesudah mensia-siakan pendahuluan 3-0 aksi pertama menentang Liverpool, final Piala Raja Sepanyol menawarkan peluang untuk melengkapkan kejuaraan berganda domestik kali kesembilan.

“Kami bukannya kalah kerana kami terjejas dengan percakapan mengenai peluang merebut tiga trofi,” kata Valverde. “Anda sering bekerja menurut keperluan kelab iaitu memenangi trofi.”

Gol Kevin Gameiro dan Rodrigo Moreno cukup buat Valencia untuk meraikan ulang tahun seabad kelab itu dengan trofi utama pertama sejak 2008, ketika gol lewat Lionel Messi nyata tidak mampu mencetus kebangkitan Barca.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu menyokong Valverde untuk mengharungi tahun terakhir dalam kontraknya.

“Valverde mempunyai kontrak, beliau adalah jurulatih. Kekalahan ini bukannya kesilapan pengurus,” kata Bartomeu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 10:37 AM