KERBER tersingkir awal di Terbuka Perancis. FOTO EPA
Reuters

HARAPAN Angelique Kerber untuk melengkapkan koleksi Grand Slam sepanjang kariernya terbantut seawal pusingan pertama Terbuka Perancis hari ini, namun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan bekas pemain nombor satu dunia itu beraksi di gelanggang yang kurang digemarinya.

Ditambah pula dengan kecederaan buku lali dan rekod buruknya di gelanggang tanah liat, peluang pilihan kelima dari Jerman itu yang gagal melepasi peringkat suku akhir dalam 11 percubaan sebelum ini tampak tipis.

Dia hanya menyertai dua kejohanan gelanggang tanah liat iaitu di Stuttgart dan Madrid sebelum datang ke Paris, menang hanya satu perlawanan setiap kejohanan.

Kecederaan buku lali bermakna pemain Jerman itu terpaksa melupakan kempen Terbuka Madrid tanpa sempat memukul bola pada pusingan kedua.

“Tahun ini penuh dengan aksi tidak menentu dan kini saya tewas pusingan pertama di sini, jadi apa yang patut saya katakan?” kata Angelique selepas tewas 6-4 6-2 di Gelanggang Philippe Chatrier oleh pemain Russia Anastasia Potapova.

“Sudah tentulah saya kecewa, namun saya mencuba segala-galanya sepanjang dua minggu terakhir di sini untuk beraksi satu permainan dan saya gembira dengan perjalanan sepanjang beberapa hari, tetapi pada akhirnya, saya tidak mendapat latihan mencukupi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 10:25 PM