EMERY dianggap mempunyai tuahnya sendiri. FOTO Zimbio
AFP

MUSIM pertama Unai Emery di Arsenal akan dinilai berjaya atau gagal bergantung kepada keputusan satu perlawanan, iaitu final Liga Europa menentang Chelsea, namun jurulatih Sepanyol itu dikatakan sentiasa bertuah dalam kejohanan kelas kedua Eropah itu.

Emery menjuarai Liga Europa tiga tahun berturut-turut di antara 2014 dan 2016 di Sevilla dan pastinya lebih dipandang dalam sejarah kejohanan itu dengan satu lagi kejayaan di Baku.

Bagaimanapun ia bukan sekadar trofi pertama menjadi rebutan Arsenal dalam tempoh 25 tahun, tetapi juga tiket ke Liga Juara-Juara selepas tidak beraksi selama dua musim yang akan memberi memberi kesan kepada kempen sulung Emery.

Persiapan Arsenal untuk perlawanan akhir itu dibelenggu isu di luar padang yang mengaitkan ibu negara Azerbaijan itu sebagai tuan rumah.

Ramai peminat terpaksa berbelanja besar untuk perjalanan sejauh 8,000 kilometer manakala ia turut menjejaskan pemilihan pemain, apabila pemain tengah Henrikh Mkhitaryan memutuskan untuk tidak menyertai atas dasar keselamatan berikutan ketegangan politik di antara negaranya Armenia dan Azerbaijan.

Bagaimanapun Emery menafikan andaian bahawa Arsenal mungkin mempertimbangkan untuk memboikot perlawanan itu, dan yakin gangguan itu tidak akan menjejaskan pasukannya menjelang sepak mula awal pagi Khamis.

“Kami mempunyai peluang untuk menang gelaran dan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan,” kata Emery.

“Semua ini adalah lebih penting berbanding di mana kami bermain untuk perlawanan akhir.

“Memang mustahil buat Mkhi, juga mustahil untuk pemain seperti yang kami mahukan tetapi final adalah amat penting.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 10:35 PM