EMERY memberi taklimat sebelum mengendalikan sesi latihan Arsenal di Baku, semalam. - FOTO Agensi
Agensi

ARSENAL mula menjalani latihan pertama sebaik tiba di Baku semalam menjelang final Liga Europa menentang seteru London, Chelsea pada awal pagi Khamis ini.

Skuad Unai Emery menentang The Blues di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan. Mereka perlu menang untuk meraih slot Liga Juara-Juara musim depan dan keazaman mereka dipamerkan ketika sesi latihan di Arena Bakcell.

Gunners lebih tertekan berbanding Chelsea untuk menjuarai Liga Europa demi penyokong mereka.

Chelsea memintas Arsenal di kelompok empat teratas Liga Perdana bagi memastikan slot kelayakan Liga Juara-Juara musim depan menjadi milik mereka.

Kini satu-satunya cara untuk Arsenal layak ke Liga Juara-Juara ialah dengan menjulang trofi Liga Europa, sekali gus trofi Eropah pertama mereka sejak 1994.

Emery mendedahkan terdapat beberapa pemainnya lebih berminat memilih perlawanan musim ini.

Katanya: “Idea pertama saya pindahkan kepada pemain ialah kami bersedia mengharunginya pada setiap kejohanan.

“Kami tahu kami dalam Liga Europa dan kami berasakan kepentingannya. Tetapi beberapa pemain lebih berminat beraksi di Liga Perdana.

“Saya terangkan kepada mereka, setiap pemain perlu fokus setiap kejohanan dan saya yang menentukan siapa patut rehat dan siapa perlu beraksi.

“Apa yang saya tak mahu ialah pemain berfikir merek tak mahu beraksi hari ini dan apabila sampai di separuh akhir atau final baharu mereka mahu beraksi.

“Tidak. Saya mahu anda di sini dan bersedia beraksi sepanjang musim. Sudah tentu kecederaan memaksa anda untuk tidak bermain.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 10:15 AM