Skip this ad x
NAFUZI pada aksi Liga Super TFC menentang Selangor. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


BIARPUN berada dalam situasi tekanan, pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap tenang mengendalikan pasukan sehingga berjaya merakam satu kemenangan dan sekali seri.

Malah bekas pemain skuad Terengganu itu yang baru mengambil alih tugas berkenaan sejak tiga minggu lalu selepas Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan, berjaya mengembalikan semula keyakinan peminat setia skuad Penyu.

“Setiap jurulatih sememangnya ada tekanan, jika anda jurulatih kampung pun juga ada tekanan, jika pasukan kampung anda beraksi mesti ada tekanan kerana mahukan pasukan anda menang.

“Namun begitu ini adalah asam garam dalam bola sepak, lagipun dalam hidup perlu ambil risiko, jika saya tak mahu ambil risiko lebih baik saya kerja lain, kerani ke sebagai contoh,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, Irfan yang dikritik peminat setia skuad itu susulan prestasi tidak konsisten pasukan termasuk tewas 3-5 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City), bertindak melepaskan jawatan ketua jurulatih secara mengejut selepas mesyuarat khas Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Berikutan itu, PBSNT melantik penolong jurulatih, Nafuzi sebagai ketua pengendali sementara pasukan itu dengan dibantu dua jurulatih berpengalaman iaitu Mohamad Nik dan Kamaruddin Annuar.

Selepas dua perlawanan diharungi Nafuzi, jurulatih muda itu ‘lulus ujian’ selepas mencatat keputusan seri 1-1 bertemu FELDA United di tempat lawan manakala perlawanan kedua bertemu Selangor, skuad itu melakar kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah.

“Selepas pertemuan dengan FELDA, corak permainan pasukan ada peningkatan biarpun berdepan masalah kecederaan pemain termasuk Igor Zonjic cedera di bahagian mata manakala Thierry Chantha Bin cedera lutut, tapi semangat juang pemain tetap tinggi, ini yang menggembirakan kami,” katanya.

Selepas 15 perlawanan, skuad TFC kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 20 mata, terpisah enam mata dengan pasukan di kedudukan kedua liga, Pahang yang mengumpul 26 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:31 PM