SETIAUSAHA Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen. FOTO Azhar Ramli
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

SETIAUSAHA Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen menjelaskan adalah tidak adil untuk menilai kemampuan atlet terjun dan renang dalam masa terdekat berikutan dua jurulatih yang baru tiba di Malaysia.

Menurutnya, jurulatih renang, Chris Martin dan jurulatih terjun, Li Rui baru saja memulakan tugas, serta dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan atlet negara.

“Mereka masih lagi mencari rentak dan platform yang terbaik buat kedua-dua atlet renang dan terjun,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ASUM di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Ujarnya, seperti sukan terjun, atlet masih lagi sedang cuba menyesuaikan diri sama ada untuk kekal berlatih di bawah bimbingan Li Rui dengan corak latihan ala China.

“Ada di antara mereka yang lebih selesa di bawah Christian Brooker (jurulatih dari Australia), jadi buat masa sekarang mereka masih lagi dalam proses menyesuaikan diri,” katanya.

Biarpun berada di bawah dua jurulatih berbeza, Mae Chen mengakui bahawa semua penerjun akan berlatih bersama-sama di China dengan kumpulan pertama bergerak hari ini, manakala kumpulan kedua pula 8 Jun depan.

“Kami mahu mereka terus fokus, jika berlatih di sini banyak perkara akan mengganggu tumpuan mereka. Sasaran awal kita adalah mahu mereka cemerlang di Kejohanan Dunia Ogos depan.

Dalam pada itu, Mae Chen ternyata berbangga dengan prestasi penerjun di Kazan, Russia dan London, England terutama Nur Dhabitah Sabri yang berjaya meraih pingat gangsa.

“Sebenarnya kita berbangga dengan pencapaian Dhabitah, namun ini hanya sebahagian di Kejohanan Dunia, kerana itulah sasaran kita sebelum mereka mempersiapkan diri ke Sukan SEA Filipina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 8:51 PM