SIAPAKAH bakal merangkul trofi Liga Europa Khamis ini?. FOTO Zimbio
Reuters

APABILA Chelsea bertemu Arsenal pada final Liga Europa berdekatan Laut Caspian awal pagi Khamis ini, ia mungkin perlawanan terakhir jurulatih Maurizio Sarri di sebalik apa yang dilihat sebagai tahun pertama mantap di Stamford Bridge.

Di bawah kendalian jurulatih Itali itu, Chelsea layak ke Liga Juara-Juara musim depan dan mara ke final Piala Liga sebelum tumpas menerusi penentuan penalti di tangan Manchester City.

Sebaliknya Arsenal, di bawah bimbingan Unai Emery pada musim sulungnya di London, terlepas empat tempat ke Liga Juara-Juara menerusi Liga Perdana susulan kemerosotan prestasi hujung musim.

Gunners kini mesti mengalahkan musuh setempat mereka di Stadium Olimpik di ibu negara Azerbaijan, Baku untuk menempah tiket ke pertandingan utama Eropah itu.

Namun Sarri yang kelihatan lebih goyah, apatah lagi dengan rekod Chelsea memecat dan mengambil pengurus – sedozen termasuk jurulatih sementara datang dan pergi sejak jutawan Russia, Roman Abramovich membeli kelab itu pada 2003.

Arsenal sebaliknya menggunakan khidmat bekas pengurus Arsene Wenger bagi tempoh 22 tahun sebelum beliau memberi laluan kepada Emery.


AUBAMEYANG jadi sandaran Arsenal benam Chelsea. FOTO Zimbio

Penamat tangga ketiga Chelsea dalam Liga Perdana tampak mengagumkan, namun mereka berakhir 25 mata di belakang naib juara Liverpool dan perlu berterima kasih kepada Tottenham Hotspur dan Manchester United, selain Arsenal yang teruk merudum.

Sesetengah penyokong Chelsea mengkritik secara langsung taktik Sarri dan menyuarakan hasrat kepada pemilik kelab itu siapa pilihan mereka musim depan dengan melaungkan nama bekas wira Frank Lampard.

Dalam musim pertamanya sebagai jurulatih, Lampard sudah mengemudi Derby County ke final playoff divisyen dua menentang Aston Villa awal pagi esok bagi memburu tempat ke Liga Perdana.

Sarri, yang dikaitkan dengan kekosongan jawatan di Juventus, menyedari mengenai masa depannya yang tidak menentu menjelang kunjungan ke Baku.

“Saya perlu bercakap dengan kelab saya selepas final. Saya mahu tahu jika mereka gembira dengan saya atau tidak,” katanya.

“Saya fikir kami mengharungi musim yang bagus dengan banyak masalah, sudah tentu. Kami kalah dua atau tiga perlawanan dengan teruk tapi musim kami berakhir dengan bagus.”

Sarri kelihatan di ambang pemecatan Februari lalu apabila Chelsea dibelasah 6-0 dalam Liga Perdana oleh Manchester City, tidak lama selepas tewas 0-4 di tangan Bournemouth.


HAZARD mampu robek benteng Gunners. FOTO Zimbio

Namun Chelsea stabil manakala Arsenal mengalami kemerosotan prestasi pada hujung musim, menyebabkan mereka gagal mengatasi musuh tradisi Spurs di tangga keempat.

Gandingan serangan Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette bagaimanapun mahu menggunakan peluang mereka berdepan benteng pertahanan Chelsea yang sering goyah.

Pemain tengah bertahan N’Golo Kante dijangka pulih sepenuhnya selepas kecederaan hamstring namun pemain England, Ruben Loftus-Cheek dan Callum Hudson-Odoi terpaksa diketepikan kerana kecederaan tumit.

Benteng pertahanan Gunners terbukti bahagian paling lemah mereka sepanjang musim domestik, memberikan Eden Hazard peluang untuk menyerlah dalam apa yang dibimbangi peminat Chelsea sebagai penampilan terakhirnya buat Blues. Dia dijangka berpindah ke Real Madrid pada musim panas ini.

Arsenal turut merana kerana ketiadaan Henrikh Mkhitaryan yang memutuskan untuk tidak berkunjung ke Baku kerana bimbang mengenai keselamatannya di Azerbaijan, yang sudah lama bertelagah dengan negara asal Mkhitaryan, Armenia.

Final itu juga memberi peluang buat Emery untuk memenangi Liga Europa kali keempat selepas mengemudi Sevilla menjuarai trofi itu tiga tahun berturut-turut antara 2014 dan 2016. Sebaliknya, Sarri belum pernah menang kejuaraan utama sebagai jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 9:48 PM