KANE ditemuramah pihak media di Enfield, utara London. Spurs akan bertemu Liverpool pada Final Liga Juara-Juara. FOTO EPA
AFP

PENGENDALI Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino berkata Harry Kane berada dalam situasi amat positif dan mungkin cergas untuk menentang Liverpool pada final Liga Juara-Juara di Madrid awal pagi Ahad.

Kane, penyerang England itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan buku lali dalam aksi pertama suku akhir kejohanan itu menentang Manchester City.

Namun Pochettino memberi bayangan bahawa Kane semakin hampir untuk kembali ke padang.

“Harry Kane pada minggu lalu, Jumaat dan Sabtu mula menyertai pasukan, ia situasi yang positif untuknya,” kata Pochettino.

“Kita akan tunggu dan lihat bagaimana dia mengatasi masalah yang dialaminya itu.”

Pengurus Spurs itu juga tetap berpandangan positif terhadap trio Davinson Sanchez, Jan Vertonghen dan Harry Winks yang mengalami kecederaan.

Pada masa sama Pochettino turut diajukan soalan mengenai masa depannya.

Pengurus kelahiran Argentina itu dikaitkan dengan Juventus susulan pemergian Massimiliano Allegri, namun Pochettino menegaskan dia tetap fokus terhadap penampilan pertama Spurs di final Piala Eropah.

“Hari ini tiada yang lebih penting daripada perlawanan yang menanti di depan, Tottenham berhak untuk mendapat fokus 100 peratus terhadap perlawanan.

“Kami boleh mencipta sejarah, kami mampu memberikan kepada peminat kebahagian terhebat dalam bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 10:37 PM