SARRI ketika sidang akhbar di Baku. - FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri berkata final Liga Europa menentang Arsenal awal pagi esok bukanlah tugasan terakhirnya bersama kelab dan berkata dia sayangkan bola sepak Inggeris.

Pengendali dari Itali itu mengambil alih tugas di Stamford Bridge tahun lalu dan spekulasi mengaitkannya dengan Serie A selepas media di negaranya melaporkan beliau bakal mengisi jawatan di Juventus.

"Saya hanya mahu fikir final. Saya ada kontrak dua tahun bersama Chelsea, jadi keutamaan saya bercakap mengenai kelab ini. Yang lain bukanlah masanya,” kata Sarri mengenai spekulasi Juventus ketika sidang akhbar di Baku, awal pagi tadi.

Jurulatih berusia 60 tahun itu dijangka mengambil alih tugas Massimiliano Allegri di Turin selepas mengharungi musim sukar di London dan laporan menyatakan Chelsea tidak akan menghalang hasratnya.

Bagaimanapun, Sarri menegaskan musim pertamanya sejak tiba dari Napoli boleh dianggap berjaya walau apapun keputusan di Stadium Olimpik di sini.

Beliau tidak tewas aksi Liga Perdana sehinggalah lewat September dan prestasi merosot selepas itu tetapi mereka masih mampu menamatkan kedudukan di tangga ketiga mengatasi Tottenham Hotspur dan Arsenal sekali gus layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Malah Chelsea hanya tewas kepada Manchester City dalam aksi final Piala Liga menerusi penentuan penalti dan kini mereka mereka berpeluang menjuarai Liga Europa buat kali kedua dalam masa tujuh musim.

"Bagi saya pada awal musim amat sukar memahami pemain saya dan memahami mental mereka. Tetapi selepas Januari yang sukar, mereka mula berubah pada Februari,” katanya.

"Pada saat ini saya menyayangi mereka kerana saya memiliki 22 pemain yang menarik. Jadi saya sangat gembira dengan mereka membuatkan saya jatuh cinta dengan bola sepak Inggeris, saya sayangkan Liga Perdana.”

Sarri berkata menjuarai Liga Europa yang juga kejuaraan utama pertamanya bakal menjadikan musim yang sangat bagus kepada musim lebih indah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 7:13 AM