PEMAIN Liverpool menjalani latihan di Melwood, semalam. - FOTO AFP
AFP

SELEPAS misi menjuarai Liga Perdana gagal, bintang Liverpool mengakui mereka kini amat terdesak menjulang trofi Piala Eropah keenam apabila berdepan Tottenham dalam aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini.

Skuad Jurgen Klopp menjadikan takdir menimpa mereka sebagai tonik tambahan dalam pertembungan di Wanda Metropolitano.

Kemenangan ke atas Tottenham di Madrid membolehkan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara pertama sejak skuad Rafael Benitez mengejutkan AC Milan pada 2005 yang dianggap salah satu aksi kebangkitan terhebat dalam sejarah kelab itu.

Sejak menjuarai Piala Eropah kali pertama menewaskan Borussia Monchengladbach pada 1977 dan menewaskan Bruges, Real Madrid dan Roma pada 1978, 1981 dan 1984, tiada yang dapat menyaingi ‘keajaiban Istanbul’ pada 2005 apabila Steven Gerrard menjadi inspirasi kebangkitkan epik Liverpool yang ketinggalan tiga gol pada babak pertama di Stadium Ataturk.

Tiga minggu selepas dikecewakan Manchester City, The Reds berpeluang menggembirakan penyokong mereka di seluruh dunia dengan menewaskan Tottenham dalam aksi final.

Selepas menyaksikan City berpesta pada aksi terakhir musim, pemain tengah Reds, Georginio Wijnaldum berkata, mereka kini berpeluang menentukan kejuaraan di Madrid.

"Setiap orang sangat fokus dan mahukan trofi itu terutamanya selepas kami mengharungi musim sangat bagus,” kata Wijnadlum.

"Musim yang hebat dengan 97 mata dalam liga tetapi malangnya kami gagal muncul juara. Itu sebabnya kami mahu menamatkan musim ini dengan kejayaan.

"Dalam aksi terakhir, kami tak dapat menguasai keadaan dalam liga kerana bukan dalam tangan kami. Tetapi kini berbeza. Ia adalah final jadi kami akan berusaha mempamerkan aksi terbaik dan menang perlawanan.

"Berada di final sekali lagi cukup istimewa dan kami akan memberikan apa sahaja yang kami ada dan semoga ia cukup untuk kami menewaskan Tottenham,” kata pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:42 AM