Cassio De Jesus (tengah) pada aksi perlawanan Liga Perdana baru-baru ini. FOTO NSTP.
BERNAMA

KELANTAN akan mengharungi baki saingan Liga Perdana musim ini tanpa kelibat khidmat pemain import susulan kesemua pemain asing yang menyertai pasukan itu membuat keputusan meninggalkan pasukan.

Tindakan terbaru ialah dilakukan pemain pertahanan dari Brazil, Cassio De Jesus untuk mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukannya iaitu Flavio Beck Junior, Mustafa Zazai dan Raul Tarragona.

Cassio berkata beliau membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didakwa gagal membayar gaji pemain berkenaan sejak lima bulan lalu.

"Sebelum membuat keputusan ini saya telah memberikan masa kepada KAFA untuk berbuat demikian (bayar gaji)

"Saya telah menunjukkan sikap profesional tetapi apa yang ditunjukkan oleh KAFA bukan cara sebuah pengurusan kelab profesional," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau berterima kasih kepada 'pemain ke-12' (penyokong) atas sokongan padu yang telah diberikan kepada pasukan 'The Red Warriors’ (TRW) selama ini.

"Bagaimanapun sokongan sahaja tidak mencukupi untuk seorang pemain meneruskan karier.

"Saya harap Kelantan akan bangkit, kerana TRW adalah sebuah pasukan yang bagus," katanya.

Sementara itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Cassio masih lagi memegang status sebagai pemain import TRW.

"Setakat ini KAFA tidak melakukan sebarang penamatan kontrak dengan pemain berkenaan.

"Sebab bagi kita (KAFA), selagi tidak ada penamatan kontrak KAFA beranggapan pemain itu masih kekal bersama Kelantan," katanya.

Selepas 14 perlawanan, Kelantan kini tercorot dalam liga dengan sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:22 PM