Barisan pemain TCFC. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan juara Liga FAM 2018, Terengganu City FC (TCFC) untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebanyak RM411,900 membabitkan bekas pemain kelab itu.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam satu kenyataan memaklumkan kelab berkenaan perlu membayar tunggakan gaji berkenaan yang tertakluk kepada potongan wajib pendapatan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

"Tuntutan pengadu-pengadu sudah diterima sepenuhnya dan Terengganu City FC dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini," katnya.

Sebelum ini, Terengganu City yang sepatutnya beraksi di saingan Liga Perdana terpaksa menarik diri ekoran kegagalan pasukan itu menyelesaikan tuntutan gaji serta menyediakan laporan kewangan untuk musim ini.

Ia sekaligus menyaksikan tempat mereka 'dihadiahkan' kepada Perlis yang akhirnya turut disingkirkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada penghujung Mac lalu atas masalah sama iaitu tunggakan gaji.

Selain tuntutan pemain Terengganu City itu, FAM turut membincangkan beberapa kes lagi dengan jumlah pampasan terbesar turut membabitkan tunggakan baki pembayaran “signing fees” dan tunggakan elaun perumahan terhadap FELDA United oleh bekas pengendalinya B Sathianathan.

Sementara itu, pasukan Kelantan dikehendaki membayar tunggakan gaji membabitkan tiga bekas pemainnya iaitu Mohd Daudsu Jamaluddin sebanyak RM33,000, Norhafiz Zamani Misbah RM87,500 dan Zairul Fitree Ishak RM52,500.

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pula diarahkan membayar yuran agensi kepada Vladir Souza Junior Adolfo sebanyak RM270,000.

Bagi kes perebutan pemain muda negara, Akhyar Rashid antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan kelab Johor Darul Ta'zim, badan induk itu memutuskan untuk membawa isu berkenaan ke mesyuarat akan datang untuk dibincangkan lebih lanjut selain mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:20 PM