PEMAIN dan pegawai Chelsea meraikan kejayaan menjulang Liga Europa di Baku, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

EDEN Hazard meledak dua gol dalam apa yang dilihat kemungkinan penampilan terakhirnya ketika Chelsea membenam Arsenal 4-1 pada final Liga Europa di Baku awal pagi tadi sekali gus menghadiahkan Maurizio Sarri trofi sulung sebagai jurulatih.

Perlawanan itu bermula jam 11 malam waktu tempatan pada hari Rabu di Azerbaijan, namun aksi itu mula menarik apabila memasuki hari Khamis dengan pesta gol babak kedua bermula menerusi gol pembukaan Olivier Giroud pada minit ke-49 menentang bekas kelabnya.

Hazard kemudian mencipta gol kedua Chelsea buat Pedro Rodriguez pada minit ke-60 sebelum dia sendiri menyumbat dua gol – termasuk sepakan penalti (m-65) dan m-72 – ketika Alex Iwobi (m-69) membalas satu gol buat Arsenal.

Pemain Belgium itu diramal meninggalkan Chelsea untuk ke Real Madrid selepas beraksi tujuh tahun di England dan jika ia perlawanan terakhir buat Hazard, ia penamat sempurna dilakukannya.


HAZARD menewaskan penjaga gol Arsenal, Petr Cech menerusi penalti bagi gol ketiga Blues. — FOTO Reuters

Ia juga trofi kedua dia dan Chelsea dalam Liga Europa pada dekad ini dan hadir selepas mereka berakhir di tangan ketiga Liga Perdana Inggeris untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Arsenal pula tidak akan kembali beraksi pada pertandingan utama kelab Eropah. Anak buah Unai Emery perlu menang di Baku untuk layak ke Liga Juara-Juara namun mereka tidak cukup bagus pada malam luar biasa di ibu negara Azerbaijan itu.

Emery berharap untuk memenangi pertandingan itu buat kali keempat. Beliau berpeluang sekali lagi musim depan, namun buat masa ini penantian 25 tahun Arsenal untuk membawa pulang trofi Eropah ke utara London berterusan.

Chelsea pasti akan mengingati malam di Baku, begitu juga Sarri, yang 24 jam terdahulu mencetus berita utama apabila beliau meninggalkan padang dalam keadaan marah ketika sesi latihan di depan kamera televisyen.


GIROUD (kanan) membuka tirai jaringan pada awal babak kedua di Stadium Olimpik. — FOTO EPA

Beberapa penyokong Chelsea yang hadir pasti turut tidak melupakan malam itu, namun hakikatnya dilaporkan hanya sekitar 1,300 datang ke Azerbaijan untuk menonton perlawanan itu.

Keputusan UEFA melangsungkan perlawanan di negara itu dikritik hebat dengan kesukaran serta kos untuk pergi ke Laut Caspian menghalang hasrat ramai penyokong selain bermakna pemain tengah Arsenal dari Armenia, Henrikh Mkhitaryan tidak dapat beraksi.

Orang kuat Azerbaijan, Presiden Ilham Aliyev berada dalam kalangan penyokong, namun beribu-ribu kerusi kelihatan kosong di Stadium Olimpik, gelanggang yang boleh memuatkan hampir 70,000 penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:47 AM