HAZARD puas menyumbang dua gol buat Chelsea. — FOTO AFP
HAZARD puas menyumbang dua gol buat Chelsea. — FOTO AFP
Reuters/AFP

SELEPAS menjaringkan dua gol membantu Chelsea mengalahkan Arsenal 4-1 pada final Liga Europa, Eden Hazard menyatakan sudah sampai masanya mengakhiri karier menakjubkan bersama kelab London itu untuk mencari cabaran baharu.

Bintang Belgium itu diramal menyertai Real Madrid dan dia melengkapkan satu aksi memukau menentang musuh Liga Perdana, Arsenal dengan menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum menambah gol keempat bagi memastikan Blues menang besar.

“Saya fikir ia ungkapan selamat tinggal, tapi dalam bola sepak anda tak boleh tahu. Impian saya adalah bermain dalam Liga Perdana dan saya melakukannya selama tujuh tahun bersama satu daripada kelab terbesar di dunia. Jadi kini mungkin masanya bagi mencari satu cabaran baharu.

“Saya sudah membuat keputusan. Kini bergantung kepada kelab. Saya hanya menanti seperti penyokong, jadi anda akan tahu dalam masa beberapa hari ini,” katanya.

HAZARD (kiri) meledak gol keempat Chelsea pada minit ke-72. — FOTO Reuters
HAZARD (kiri) meledak gol keempat Chelsea pada minit ke-72. — FOTO Reuters

“Sasaran saya hari ini untuk memenangi trofi dan kami berjaya, itulah satu-satunya perkara yang saya fikirkan.”

Chelsea memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi bekas penyerang Arsenal, Olivier Giroud dan Hazard mencipta gol kedua buat pemain gantian Pedro.

“Ia bagus. Separuh masa pertama kedua-dua pasukan agak tertekan kerana ia perlawanan akhir. Tapi apabila Olly (Giroud) meledak gol ia satu permulaan malam hebat,” kata Hazard.

“Kami bermain baik pada babak kedua. Kami cuba mengamalkan corak permainan sendiri dan kami sedar mempunyai pemain untuk melakukannya. Ia trofi hebat untuk dimenangi.”

HAZARD bersama trofi Liga Europa. — FOTO AFP
HAZARD bersama trofi Liga Europa. — FOTO AFP

Hazard, 28, menyertai Chelsea dari Lille pada 2012 dengan harga £32 juta (RM169.5 juta) dan menang Liga Europa pada musim sulungnya, kemudian menjuarai Liga Perdana pada 2015 dan 2017 selain satu Piala Liga dan satu Piala FA.

Real Madrid tidak menyembunyikan hasrat mereka mengikat Hazard, dengan presiden Florentino Perez mengakui minggu ini beliau memburu tandatangan pemain itu bertahun lamanya dan dijangka mendapatkan khidmat pemain Belgium itu pada musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 7:28 AM