AFP

JURULATIH Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan menjuarai Liga Europa menentang Arsenal di Baku lebih penting buat kelab itu berbanding beliau secara peribadi di sebalik ia trofi utama sulungnya dalam pengurusan.

“Saya terlalu gembira tapi trofi ini amat penting buat kelab. Nama pemain dan jurulatih kurang penting,” kata Sarri selepas Chelsea membenam musuh setempat London pada babak kedua sebelum menang 4-1.

Kejayaan itu melengkapkan musim cemerlang yang mana mereka berakhir di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris untuk memastikan kembali ke Liga Juara-Juara lebih awal sebelum perlawanan itu.

Di sebalik kejayaan itu, Sarri amat kuat dikaitkan untuk kembali ke negara asalnya Itali pada musim panas ini bersama Juventus.


PEDRO (kiri) menyumbat gol kedua Chelsea di Baku. — FOTO Reuters

“Sudah tentu trofi ini amat penting kerana kami berdepan masalah pada Januari dan Februari sebelum bangkit.

“Tidak mudah melakukannya dalam Liga Perdana kerana tahapnya terlalu tinggi.

“Akhirnya kami layak ke Liga Juara-Juara, kami bermain final Piala Liga dan kalah menerusi penentuan penalti kepada Manchester City, kemudian Liga Europa kami bermain 15 perlawanan menang 12 dan seri tiga jadi saya fikir kami berhak menang.”

Eden Hazard meledak dua gol, termasuk satu menerusi sepakan penalti, selepas Olivier Giroud dan Pedro Rodriguez membantu Blues menguasai aksi di Azerbaijan.

Sarri menegaskan: “Ia amat penting buat saya tapi saya terlalu gembira dengan pemain saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 7:50 AM
SARRI (dua kanan) menjulang trofi ketika meraikan kejayaan bersama pemainnya di Stadium Olimpik. — FOTO AFP