KEKECEWAAN dirasai jurulatih Arsenal, Unai Emery apabila pasukannya mengalami kekalahan memilukan 1-4 di tangan Chelsea pada final Liga Europa di Baku sekali gus terlepas peluang ke Liga Juara-Juara sekali lagi musim depan bagi musim ketiga berturut-turut.
“Kami sedar ia sukar untuk mencapai sasaran pertama kami,” kata Emery, merujuk kepada Liga Juara-Juara.
“Dalam Liga Perdana kami hampir melakukannya tapi kami tewas satu atau dua mata kepada pasukan seperti Tottenham dan Chelsea.
“Liga Europa satu lagi cara. Kami cuba dan bekerja keras, tapi tahniah kepada Chelsea. Mereka kini lebih bagus berbanding kami.”
Emery berharap untuk memenangi Liga Europa buat kali keempat selepas kejayaan tiga tahun berturut-turut bersama Sevilla dari 2014 hingga 2016.
“Pada babak pertama kami ada kemungkinan, beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan tidak banyak memberi peluang kepada mereka.
“Pada babak kedua idea kami sama, untuk meneruskan perancangan awal, tapi mereka menjaringkan gol pertama dan ia amat penting dalam perlawanan ini.
“Mereka mempunyai pemain yang amat bagus dan kami menurunkan beberapa pemain muda. Kami sedar ia pasti sukar.”