REAKSI Cech selepas tewas di tangan bekas kelab Chelsea di Stadium Olimpik. — FOTO AFP
AFP

PENJAGA gol Arsenal, Petr Cech menyatakan dia “tidak kesal” selepas beraksi perlawanan terakhir kariernya ketika kalah 1-4 pada final Liga Europa di tangan bekas kelab Chelsea, awal pagi tadi.

“Saya perlu katakan saya sudah melakukan segala-galanya, jadi saya boleh mengimbau dan tidak menyesal,” kata Cech kepada BT Sport susulan final di Baku.

Pemain berusia 37 tahun itu memenangi Liga Juara-Juara dan empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris di Chelsea dan ada laporan mengaitkannya kembali ke Stamford Bridge sebagai pengarah sukan.

“Ada banyak spekulasi mengenai Chelsea dan semua perkara ini,” katanya.

CECH tewas empat kali pada final di Baku, awal pagi tadi. — FOTO Reuters

“Saya mahu menjulang trofi dan duduk berbincang serta memikirkannya. Hingga 30 Jun ini saya masih pemain Arsenal. Hingga saat itu saya tidak akan memutuskan apa-apa,” katanya.

Cech berpindah antara dua kelab London itu pada 2015 dan meramalkan masa depan cerah Gunners di bawah kendalian Unai Emery.

“Ini sesuatu yang tidak berhak dialami kelompok pemain ini kerana di belakang tabir bersama staf kejurulatihan, penyokong tidak melihat betapa banyaknya kerja dilakukan,” kata pemegang rekod penampilan Republik Czech itu.

“Saya boleh memberi jaminan kepada setiap orang yang menyokong kami usaha keras kami musim ini akan terserlah musim depan dan pasukan ini akan tampil lebih kuat lagi,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:35 AM