LYON (jersi putih) tewas di tangan Barcelona pada pusingan 16 terakhir musim ini. — FOTO Agensi
LYON (jersi putih) tewas di tangan Barcelona pada pusingan 16 terakhir musim ini. — FOTO Agensi
AFP

CHELSEA bukan satu-satunya pasukan yang meraikan kejayaan ke atas Arsenal pada final Liga Europa, awal pagi tadi.

Kemenangan 4-1 mereka di Baku juga satu berita gembira buat kelab Perancis, Lyon, yang kini layak secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika Arsenal – yang berakhir di tangga kelima Liga Perdana Inggeris – mesti menang untuk kembali ke Liga Juara-Juara selepas dua tahun gagal, Chelsea sudah memastikan aksi mereka pada pertandingan elit kelab Eropah itu.

Anak buah Maurizio Sarri layak selepas menghuni tangga ketiga Liga Perdana, jadi laluan yang ditawarkan kepada pemenang pertandingan kelas kedua Eropah itu sebaliknya diberikan kepada Lyon.

SYLVINHO (kiri) dilantik jurulatih Lyon musim depan manakala Juninho sebagai pengarah sukan. — FOTO Reuters
SYLVINHO (kiri) dilantik jurulatih Lyon musim depan manakala Juninho sebagai pengarah sukan. — FOTO Reuters

Kelab Perancis itu berakhir di tangga ketiga Ligue 1, bermakna secara biasa mereka perlu mengharungi dua pusingan kelayakan sebelum kembali ke peringkat kumpulan pertandingan itu yang mana mereka layak ke pusingan 16 terakhir musim ini.

Ia tahun kedua berturut-turut Lyon mendapat faedah sedemikian - mereka juga menduduki tangga ketiga Ligue 1 musim lalu namun layak terus ke peringkat kumpulan selepas Atletico Madrid menang Liga Europa tahun lalu dan berakhir di tangga kedua La Liga.

Lyon baru melantik pasukan pengurusan dari Brazil, dengan bekas pemain Juninho sebagai pengarah sukan manakala Sylvinho – bekas pemain Arsenal – sebagai jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 9:14 AM