ANTARA peminat Arsenal yang menghadiri aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Stadium Olimpik, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

SEORANG peminat Arsenal ditahan polis Azerbaijan yang mencari penyokong memakai nama Henrikh Mkhitaryan di belakang jersi mereka atau bendera sebelum aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Baku, awal pagi tadi.

Pemain tengah Arsenal dari Armenia, Mkhitaryan tidak berkunjung ke Azerbaijan kerana bimbang mengenai keselamatannya susulan konflik berpanjangan antara Armenia dan Azerbaijan.

Andrew Simes adalah penyokong Arsenal berusia 37 tahun yang berkunjung ke Baku untuk menyaksikan perlawanan itu.

“Saya baru melepasi keselamatan dan saya bercakap sedikit bahasa Turki, yang hampir dengan Azeri dan saya dengar pegawai polis berkata ‘lihat di bawah bendera, lihat di belakangnya’,” kata Simes.

PENYOKONG Arsenal bersama bendera Gunners di pusat bandar Baku. — FOTO Reuters

“Mereka menarik bendera saya untuk melihat sama ada tertulis nama Mkhitaryan di belakangnya dan dua tiga kali ia berlaku terhadap saya sejak saya berada di sini. Mereka fikir saya cuba melindungi nama dengan bendera.”

Rakaman televisyen kelmarin menunjukkan dua penyokong Arsenal dengan nama Mkhitaryan di belakang jersi mereka disoal oleh polis tempatan.

Leyla Abdullayeva dari Kementerian Hal Ehwal Luar Azerbaijan menafikan insiden itu.

“Ia bukannya setiap penyokong yang memakai kemeja-T Mkhitaryan akan disoal oleh polis, tidak sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 11:30 AM