NADAL mengatasi Maden untuk layak ke pusingan ketiga Terbuka Perancis. — FOTO AFP
NADAL mengatasi Maden untuk layak ke pusingan ketiga Terbuka Perancis. — FOTO AFP
Reuters

JUARA bertahan Rafael Nadal dan Roger Federer meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Terbuka Perancis tanpa perlu bersusah payah.

Ia bagaikan kes ‘deja vu’ buat Nadal dari Sepanyol, pilihan kedua, kerana bagi perlawanan kedua berturut-turut dia membenam pemain Jerman dari pusingan kelayakan bernama Yannick tanpa belas kasihan.

Selepas menundukkan Yannick Hanfmann dengan hanya kalah enam ‘game’ pada pusingan pertama, dia hanya kalah tujuh ‘game’ menentang Yannick Maden sebelum menang 6-1, 6-2, 6-4 di Gelanggang Suzanne Lenglen.

Ia mungkin lebih sukar selepas ini apabila dia berdepan pemain Belgium, David Goffin – namun juara 11 kali itu kelihatan berada pada tahap terbaik.

FEDERER membalas pukulan Otte pada pusingan kedua, lewat malam tadi. — FOTO AFP
FEDERER membalas pukulan Otte pada pusingan kedua, lewat malam tadi. — FOTO AFP

“Kami tahu dia berada di tempat sendiri di Terbuka Perancis. Dia adalah raja,” kata Goffin, pemain pilihan ke-27.

Pilihan ketiga Federer turut berdepan pemain berusia 25 tahun dari Jerman, Oscar Otte, yang menghuni ranking ke-144 dunia.

Federer mematahkan servis tepat pada masanya di setiap set sebelum menang 6-4, 6-3, 6-4.

Sesudah terlepas tiga Terbuka Perancis terakhir, dia kembali menemui sentuhan dengan enam set hampir sempurna.

KIKI meninggalkan gelanggang selepas menarik diri menentang Viktoria. — FOTO EPA
KIKI meninggalkan gelanggang selepas menarik diri menentang Viktoria. — FOTO EPA

“Saya perlu katakan saya berasa amat bagus, memandangkan saya tidak bermain di sini agak lama,” kata pemain berusia 37 tahun itu.

Undian kategori wanita menyaksikan satu lagi nama besar apabila Kiki Bertens, pilihan keempat dari Belanda, terpaksa menarik diri awal menentang Viktoria Kuzmova, menyatakan dia muntah sepanjang malam.

Dia menyertai pilihan kelima, Angelique Kerber, pilihan ke-13 Caroline Wozniacki dan juara 2017, Jelena Ostapenko tersingkir awal daripada acara Grand Slam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 1:36 PM