Farizal dilantik ketua pasukan Harimau Malaya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PENJAGA gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias dilantik sebagai ketua pasukan Harimau Malaya bagi menggantikan tempat penyerang Kedah, Zaquan Adha Abd Razak yang disisihkan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini.

Keputusan itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang hadir pada sesi latihan pusat yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, semalam.

Jelas Hamidin, pemilihan itu dibuat dengan cukup teliti selepas berbincang bersama pengendali pasukan Tan Cheng Hoe yang mencalonkan sendiri nama penjaga gol senior itu.

"Farizal akan mula menggalas tugas selaku ketua pasukan dalam perlawanan persahabatan bertemu Nepal pada hari Ahad ini sebelum menghadapi perlawanan timbal balik bertemu Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

"Pengalaman yang dimiliki Farizal pastinya akan memainkan peranan penting untuk membantu pasukan terutamanya dengan begitu ramai pemain muda tersenarai," katanya yang turut mengumumkan tonggak pertahanan tengah Perak, Shahrul Saad selaku penolong kapten.

Mengulas lanjut pertemuan penting berdepan Timor Leste itu nanti, Hamidin mahu skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan selesa dalam aksi pertama 7 Jun ini sebelum turun sekali lagi pada aksi timbal balik empat hari kemudian.

"Saya selalu pesan kepada jurulatih dan pemain agar tidak mensia-siakan peluang dan cuba dapatkan kemenangan selesa dalam perlawanan pertama.

"Mesti diingat, jika kita dibolosi pada aksi pertama ia mungkin memberi sedikit kesukaran buat kita apabila lawan dalam aksi kedua nanti.

"Sebaiknya dapatkan gol lebih dan pastikan kita tidak dibolosi bagi membolehkan kita beraksi tenang dalam perlawanan kedua.

Saya lihat pemain-pemain tahu apa yang harus dilakukan dan harap kita mampu capai matlamat mara ke pusingan kedua," katanya.

Malaysia wajib melakar kemenangan untuk mara ke fasa seterusnya di mana 40 pasukan terbaik Asia akan dipecahkan kepada lapan kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai lima pasukan.

Hanya juara kumpulan dan empat pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023. Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:21 PM