Karius tidak mahu dianggap penyebab kekalahan lagi. FOTO REUTERS
Agensi

LORIS Karius menolak jemputan Liverpool untuk menyaksikan final Liga Juara-Juara (UCL) kerana bimbang fokus pemain akan terganggu, lapor media.

Penjaga gol yang ‘tercicir’ itu dipersalahkan berikutan kekalahan pada final UCL kepada Real Madrid musim lalu - tetapi semuanya atas sebab yang salah.

Kesilapannya pada pertembungan itu menyebabkan Liverpool gagal meraih kejayaan kali keenam dan kariernya turut terjejas.

Bos Liverpool, Jurgen Klopp kemudian meminjamkannya selama dua tahun kepada Besiktas dan hanya sedikit jangkaan diletakkan terhadap pemain berusia 25 tahun itu untuk kembali semula kepada Reds.

Biarpun begitu, Karius dan beberapa pemain lain Liverpool dipinjamkan, ditawarkan tiket oleh kelab itu untuk menyaksikan final menentang Tottenham di Madrid, Sabtu ini.

Bagi Karius, dia lebih sanggup pergi bercuti bersama teman wanitanya daripada pergi ke Stadium Wanda Metropolitano (Atletico Madrid) menonton perlawanan Liverpool.

Media Britain melaporkan Liverpool dan kakitangan kejurulatihan memberi sokongan penuh terhadap keputusannya.

Sebelum ini, kereta teman wanita, Karius iaitu Sophia Thomalla menjadi mangsa vandalisma apabila disembur cat dengan tulisan ‘LOSER’.

Karius dianggap sebagai pembawa bencana selepas Reds kecundang pada final di Kiev selepas dia memberikan Real Madrid dua gol sebelum tewas 3-1.

Dia menjatuhkan bola mengenai kaki Karim Benzema dan gagal menahan dengan kemas rembatan Gareth Bale.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 4:55 PM