Shah Firdaus persiap fizikal ke Oimpik Tokyo. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA trek negara, Shah Firdaus Sahrom fokus mencapai berat badan yang dinginkan ketua jurulatih negara, John Beasley untuk menjadikan dirinya lebih kompetitif menjelang musim baru, bulan depan.

Jelasnya, dia perlu capai berat 86kg dengan program latihan di Melbourne sepanjang bulan Ramadan lebih tertumpu di gimnasium bagi merealisasikan tujuan itu.

"Banyak latihan di gimnasium ketika ini untuk mencapai berat jisim otot yang ditetapkan, latihan di velodrom hanya dua kali seminggu. Sekarang saya sudah mencapai 84kg.

"Kami akan kembali beraksi pada bulan depan dengan kebanyakan pertandingan pada peringkat awal berstatus Grand Prix di Eropah," menurut pelumba kelahiran Johor itu.

Aspek meningkatkan jisim otot menjadi tumpuan Beasley sejak awal tahun bagi memastikan pelumba negara mampu bersaing apabila berhadapan dengan lawan yang mempunyai saiz fizikal lebih besar.

Rakan sepasukannya, Azizulhasni Awang turut diarah untuk mencapai sasaran berat 75kg sebagai persediaan untuk melayakkan diri dan bersedia menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia dalam misi memburu slot ke Olimpik dalam acara pecut berpasukan menerusi gandingan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Mohd Fadhil Zonis dengan ketiga-tiganya sedang menjalani latihan di Melbourne.

Lapan pasukan terbaik selepas berakhir Kejohanan Dunia di Jerman pada Fabruari tahun depan akan mendapat tiket ke Olimpik Tokyo dengan Malaysia perlu berusaha keras apabila kini di kedudukan ke-14.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Olimpik menerusi pecut berpasukan adalah pada edisi 2008 di Beijing, China menerusi gandingan Azizulhasni, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:35 PM