Bibi Ramjani Ilias Khan. FOTO NSTP.
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan mengatakan badan induk persatuan negeri itu gagal melunaskan hampir lima bulan gaji pemainnya.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, selepas mengambil alih semula KAFA susulan penarikan diri My Inspiration Sdn Bhd yang menguruskan KRW Sdn Bhd pada 5 April yang lalu, KAFA berdepan masalah kerana beberapa dokumen seperti surat kontrak pemain tidak dipulangkan semula.

"KAFA meminta dokumen kontrak pemain diserahkan semula namun syarikat My Inspiration gagal berbuat demikian.

"Malah KAFA juga bertindak melangsaikan gaji bulan Februari, Mac dan April dalam proses memohon bantuan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Pemain harus memahami situasi KAFA dan jangan mudah menuding jari kepada kami yang terus dibebani masalah selepas KRW menarik diri yang memberikan kesan buruk kepada pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

“Berilah peluang kepada KAFA untuk memperbaiki beberapa kelemahan dalam proses peralihan pengurusan (baharu) bagi mengendalikan pasukan Kelantan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut kes pemain import dari Brazil, Cassio De Jesus, Bibi Ramjani mengakui My Inspiration sudah membuat bayaran gaji RM48,000 pada Februari yang lalu.

"Pada awal Mac, Cassio mengalami kecederaan dan terpaksa berehat selama tiga minggu sehinggalah beliau sering memberi alasan untuk tidak beraksi walaupun doktor mengesahkan beliau cergas sepenuhnya.

"Dalam situasi ini seolah-olah Cassio mengelak dari bermain dan macam ada sesuatu yang tidak kena membelenggu dirinya.

"Oleh itu, saya meminta individu tertentu janganlah mudah menuding jari dan menyalahkan KAFA sahaja sedangkan KAFA tidak berniat untuk menganiayai pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:34 PM