Aksi Christie Jayaseelan (kiri) pada perlawanan Liga Malaysia baru-baru ini. FOTO NSTP.


PEMAIN tengah FELDA United FC, Christie Jayaseelan percaya skuad itu tampil lebih bertenaga dan mantap sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung selepas cuti Aidilfitri.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ketika ini, semua pemain skuad The Fighters memberikan komitmen 100 peratus dalam sesi latihan sepanjang Ramadan.

"Oleh itu, kami harap tempoh rehat liga ini dapat mencatat keputusan positif dalam usaha memperbaiki kedudukan tercorot FELDA United.

"Segala kelemahan masih ada perlu diatasi segera, terutamanya jentera serangan yang dilihat masih mempunyai banyak kelemahan.

"Saya harap selepas menyambut Aidilfitri, kami dapat semangat baharu untuk mengutip seberapa banyak mata dalam usaha mengekalkan FELDA United dalam Liga Super musim depan," katanya.

Dalam pada itu, Christie berkata, skuad itu turut memberi tumpuan dalam aksi separuh akhir Piala FA bertemu Kedah pada 23 dan 29 Jun depan.

Katanya, segala perancangan oleh jurulatih, Mohd Nidzam Jamil diharap membantu The Fighters melakar keputusan membanggakan.

"Sebagai pemain, kami akan berusaha mempamer persembahan terbaik terutama mempertingkatkan prestasi," katanya.

Ketika ini, FELDA United berada di zon penyingkiran apabila sekadar mengutip sembilan mata daripada 14 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:46 PM