NILAI rombakan barisan pemain sekitar RM50 juta khususnya di saingan Liga Super.
Firdaus Hashim


JENDELA perpindahan kedua yang dibuka pada 2 Mei lalu dan ditutup secara rasminya pada tengah malam kelmarin menyaksikan beberapa pasukan Liga Super aktif membeli-belah pemain baharu.

Pertukaran pemain pada pertengahan liga ini bertujuan memperkuatkan pasukan masing-masing bagi menghadapi baki saingan liga serta Piala Malaysia yang bakal membuka gelanggangnya pada 3 Ogos ini.

Biarpun pembelian pemain tidak serancak pada awal musim ini, dianggarkan nilai rombakan barisan pemain membabitkan beberapa pasukan adalah sekitar RM50 juta khususnya di saingan Liga Super.

Menurut bekas ejen dan pengurus pemain tempatan, Zakaria Rahim, rombakan pemain pada jendela kedua kali ini hanya membabitkan beberapa pasukan di pertengahan dan bawahan liga.

Katanya, nilai RM50 juta merangkumi yuran perpindahan pemain, pampasan kontrak pemain yang digugurkan serta bayaran perkhidmatan ejen antara kos yang terpaksa ditanggung oleh pasukan.

“Ada pasukan tidak melakukan perubahan seperti JDT (Johor Darul Ta’zim) yang melihat tiada keperluan untuk melakukan dan ia secara tidak langsung mengelak pasukan daripada berbelanja.

“Bagaimanapun, tidak buat Selangor, Kedah, Pahang dan Perak yang terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi memperkukuhkan pasukan masing-masing,” katanya.

Dalam tempoh perpindahan itu, Selangor paling ghairah memburu ayam tambatan baharu apabila membawa masuk Ifedayo Olusegun yang sebelum ini beraksi di Liga Bahrain.

Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia terpaksa diketepikan selepas disahkan mengalami kecederaan serius.

Perak muncul pasukan paling serius merombak barisan importnya apabila menggugurkan tiga pemain iaitu Zac Anderson, Gilmar Jose Da Silva dan Wander Luiz Junior.

Skuad The Bos Gaurus menandatangani kontrak Hussein El Dor dari Lubnan bagi menggantikan tempat Anderson di posisi pertahanan manakala dua penyerang dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais menjadi taruhan baharu buat juara Piala Malaysia musim lalu itu.

Kapten skuad kebangsaan Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt pula menjadi pemain import baharu Kedah yang dibawa masuk bagi mengisi kuota pemain import Asia, menggantikan pemain import dari Iraq, Anmar Al-Mubaraki.

Pesaing terdekat JDT, Pahang turut tidak ketinggalan menambah sengat apabila mengikat penyerang import dari Namibia, Lazarus Kaimbi pada hari terakhir jendela perpindahan pemain kelmarin, bagi menggantikan Jose Eduardo yang gagal memberi impak.

Lain-lain pasukan seperti Kuala Lumpur mengikat bekas pemain kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani manakala Melaka United pula memancing bekas pemain Kedah dan Negeri Sembilan, Faizal Abu Bakar selepas melepaskan R Gopinathan yang menyertai PDRM.

Dua kelab, PKNS FC dan PKNP FC turut tidak ketinggalan melakukan perubahan dengan PKNS menggugurkan Chan Vathanaka dari Kemboja dan akan digantikan pemain berdarah campuran Thailand-Norway yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

PKNP pula meminjam dua pemain Perak iaitu Syazwan Zaipol Bahari dan Nazirul Afif Ibrahim bagi membantu kelab itu kekal dalam Liga Super musim ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, walaupun jurang perpindahan musim ini dan tahun lalu tidak terlalu besar, penurunan perbelanjaan adalah positif.

“Banyak faktor kita dapat simpulkan di mana paling utama adalah apabila pihak pengurusan kini sudah matang dan lebih bijak mengendalikan struktur pasukan mereka sendiri tanpa memerlukan banyak rombakan pada pertengahan musim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 5:00 AM