FIRMINO menjalani latihan di pusat latihan Melwood, tiga hari lalu. — FOTO AFP
Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp perlu menangani teka-teki bahagian tengah manakala rakan sejawatnya di Tottenham, Mauricio Pochettino mesti memutuskan sama ada Harry Kane sedia untuk beraksi ketika kedua-dua bos berdepan masalah pemilihan pemain bagi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini.

Rehat tiga minggu antara penamat musim Liga Perdana Inggeris dan final Eropah di Madrid membolehkan kebimbangan mengenai kecederaan berkurangan buat kedua-dua pengurus - namun ia hanya menyebabkan mereka lebih sukar membuat keputusan.

Bagi Klopp, yang melihat penyerang Brazil, Roberto Firmino kembali cergas tepat pada masanya bagi pertembungan di Stadium Wanda Metropolitano, mungkin terpaksa membuat satu keputusan besar.

Pengendali dari Jerman itu dijangka kekal dengan empat benteng terakhir dengan Joel Matip bergandingan bersama Virgil van Dijk di pertahanan tengah.


KLOPP pening memikirkan kesebelasan terbaik menentang Spurs. — FOTO AFP

Dengan Firmino dijangka bermula – Klopp menyatakan minggu ini penyerang itu “boleh kembali cergas” – maka Liverpool mampu menggunakan trio serangan dengan Sadio Mane dan Mohamed Salah bermain di kanan dan kiri pemain Brazil itu.

Ia bagaimanapun bermakna tiada tempat dalam kesebelasan utama buat penyerang Belgium, Divock Origi, yang meledak dua gol ketika menang 4-0 ke atas Barcelona pada separuh akhir kedua.

Pemain Brazil, Fabinho mampu mengekalkan tempatnya di tengah dan pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum, yang turut menyumbat dua gol menentang Barca, dijangka bermain di depannya.

Ia meninggalkan satu lagi tempat di tengah dengan dua pemain Inggeris bersaing merebut satu tempat – James Milner dan Jordan Henderson.


HENDERSON (kiri) dan Robertson ketika sesi latihan awal minggu ini. — FOTO AFP

Memilih Milner mungkin lebih wajar dari segi taktikal kerana dia mampu beraksi di pertahanan kiri seketika untuk membantu Andy Robertson, apabila pemain Scotland itu naik menyokong serangan.

Namun Henderson adalah kapten Liverpool dan sudah mempamerkan beberapa aksi mantap musim ini dan ia satu tamparan besar buatnya jika Klopp meninggalkannya di bangku simpanan bagi perlawanan sebesar itu.

Penantian lama bagi perlawanan ini memberi faedah kepada Spurs terutamanya dengan penyerang Kane pulih daripada kecederaan buku lali dan mengesahkan dia cergas serta bersedia.

Kane yang cergas sepenuhnya pasti diturunkan dalam kesebelasan utama namun Pochettino perlu memutuskan sama ada penjaring terbanyaknya itu bersedia sebaik mungkin selepas tujuh minggu diketepikan.


KANE (tengah) dan Alli (kanan) antara tonggak utama Spurs. — FOTO EPA

Jika Kane bermula – bersama penyerang Korea Selatan, Son Heung Min, yang meledak 20 gol musim ini – maka ia mungkin bermakna tiada tempat buat Lucas Moura.

Ia mungkin satu keputusan kejam memandangkan hatrik pemain Brazil itu ketika menang pada separuh akhir kedua ke atas Ajax Amsterdam membantu Spurs layak ke Madrid, namun jurulatih dari Argentina itu tidak pernah endah dengan perkara sebegitu.

Moura mungkin berada di bangku simpanan sebagai pemain gantian yang boleh memberi impak, peranan yang boleh dilaksanakan susulan kepantasannya.

Pochettino menggunakan beberapa formasi berbeza musim ini dan beliau mungkin mengamalkan corak serangan tiga serangkai Liverpool dengan Heung Min dan Moura bermain di sayap dan Kane di tengah.


POCHETTINO sedia melakar sejarah baharu bersama Tottenham di Madrid. — FOTO AFP

Variasi itu menyebabkan Christian Eriksen dan Dele Alli perlu bermain ke bawah sedikit berbanding biasa – sekalipun kedua-duanya sudah bertindak sedemikian beberapa kali musim ini.

Seandainya Pochettino memilih empat pemain di tengah maka Moussa Sissoko mungkin paling ke bawah dengan Harry Winks di depannya. Satu pilihan lebih berhati-hati adalah dengan meminta Victor Wanyama bergandingan dengan Sissoko.

BARISAN KEMUNGKINAN:

Tottenham Hotspur (4-2-2-2): Hugo Lloris; Kieran Trippier, Toby Alderweireld, Jan Vertonghen, Danny Rose; Harry Winks, Moussa Sissoko; Dele Alli, Christian Eriksen; Son Heung Min, Harry Kane.

Liverpool (4-3-3): Alisson Becker; Trent Alexander-Arnold, Joel Matip, Virgil van Dijk, Andy Robertson; Fabinho, Jordan Henderson, Georginio Wijnaldum; Mohamed Salah, Roberto Firmino, Sadio Mane.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 11:24 AM