Kevin Ramalingam. FOTO Owee Ah Chun.
Syazwan Msar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan perbincangan bersama tiga pelabur sudah berada di peringkat akhir sebelum dimuktamadkan nanti.

MFL hanya menunggu masa tiga pelabur berkenaan membentangkan kertas kerja masing-masing sebelum pengendali liga itu membuat keputusan untuk memilih pihak yang layak untuk melabur dalam Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, identiti pelabur baharu bakal terjawab selepas pihak MFL buat keputusan berdasarkan pilihan terbaik daripada kertas kerja tiga pelabur itu

"Perkembangan yang amat memberangsangkan daripada segi struktur hak penyiaran Liga Malaysia di mana tiga pihak yang (dalam proses) terakhir sedang menunggu kelulusan daripada pihak mereka sendiri sebelum mereka mengemukakan kertas kerja yang terakhir.

"Jadi MFL sekarang hanya menunggu keputusan daripada pihak mereka dan pihak MFL sudah melakukan semua perkara apa yang patut dengan mengemukakan nilai yang terbaik untuk pelabur-pelabur ini masuk ke Liga Malaysia.

"Sudah tentu MFL masih belum sampai di 'penamat' lagi (mengumumkan kemasukan pelabur) dan 'penamatnya' adalah bila MFL menerima kewangan yang sepatutnya tetapi apa yang boleh saya katakan sangat berbangga dengan pasukan yang berjaya menyelesaikan banyak masalah membabitkan ramai pihak," katanya.

Ketika ditanya mengenai potensi ketiga-tiga pelabur memiliki ruang untuk bekerjasama antara satu sama lain, pada masa ini Kevin tidak menolak sebarang kemungkinan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 12:29 AM