FABINHO (kiri) bertindak baik mengekang Lionel Messi pada separuh akhir kedua di Anfield. — FOTO Getty Images
AFP

PEMAIN tengah Brazil, Fabinho mendedahkan dia tidak pernah meragui akan meraih kejayaan di Liverpool, di sebalik kesukaran pada mulanya untuk memastikan tempat dalam kesebelasan utama.

Fabinho dijangka tampil awal pagi esok apabila Liverpool berdepan Tottenham pada final Liga Juara-Juara di Madrid.

Pemain berusia 25 tahun itu sudah mengesahkan dirinya sebagai tonggak utama skuad kendalian Juergen Klopp, namun terpaksa menanti peluangnya selepas tiba dari AS Monaco, Julai lalu.

Fabinho tidak memulakan aksi Liga Perdana Inggeris hingga 27 Oktober dan dia mengakui terpaksa mengambil masa selepas itu sebelum mula berasa selesa dengan bola sepak Inggeris.


FABINHO (kiri) bersama Roberto Firmino tiba di lapangan terbang Madrid-Barajas semalam. — FOTO EPA

Dia percaya titik peralihan hadir pada aksi keduanya dalam liga, seri 1-1 di Arsenal pada 3 November lalu.

Lucas Torreira dan Granit Xhaka membayangi pemain Brazil itu, yang kelihatan hilang punca di tengah ketika dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan rentak perlawanan itu.

Namun Fabinho kini menyatakan itulah perlawanan yang mana dia mula memahami apa yang diperlukan dalam Liga Perdana.

Keyakinannya mula bercambah, menjurus kepada aksi cemerlang pertamanya dalam jersi Liverpool, apabila dia mencipta gol buat Sadio Mane ketika menang 3-1 ke atas Manchester United pada 16 Disember lalu.


FABINHO (kiri) berlatih bersama rakan senegara Firmino di Stadium Wanda Metropolitano sejurus tiba di Madrid semalam. — FOTO EPA

“Saya tahu ia sukar dan akan ada masa-masanya saya terkeluar daripada pasukan, tapi dari segi menyesuaikan diri, ada banyak persiapan dan kerja keras,” kata Fabinho.

“Dari segi meningkatkan keyakinan saya, perlawanan hebat adalah menentang Manchester United. Ia mungkin satu daripada perlawanan terbaik musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 8:18 AM