KLOPP (tengah) mengendalikan sesi latihan terakhir Liverpool menjelang final di Madrid, awal pagi esok. — FOTO EPA
AFP

JUERGEN Klopp tertawa dengan pandangan beliau seorang pengurus tidak bertuah ketika beliau cuba menamatkan badi gagal dalam enam final terakhirnya sebagai jurulatih apabila mengemudi Liverpool pada final Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

“Sejak 2012, kecuali 2017, setiap tahun saya bersama pasukan saya beraksi di final, jadi kami ke sana dengan kadang kala sedikit tuah tapi kebanyakannya kerana kami perlu ke sana,” kata Klopp kepada wartawan di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

“Saya mungkin ketika ini seorang pemegang rekod dunia, dalam tujuh tahun terakhir sekurang-kurangnya kerana memenangi semua perlawanan separuh akhir, tapi jika saya menulis buku mengenainya mungkin tiada siapa mahu membelinya.”

Ia final ketujuh pasukan kendalian Klopp sejak beliau mengemudi Borussia Dortmund meraih kejuaraan berganda liga dan Piala Jerman pada 2012.


KESEBELASAN Liverpool yang tewas di tangan Real di Kiev, tahun lalu. — FOTO Agensi

Beliau kalah pada final Liga Juara-Juara 2013 bersama Dortmund dan final Piala Jerman bagi dua kempen berikutnya.

Klopp kemudian tewas final Liga Europa dan Piala Liga dalam musim sulungnya bersama Liverpool, sebelum ditewaskan Real Madrid pada final Liga Juara-Juara 2018.

Liverpool turut berakhir di tangga kedua di belakang Manchester City dalam Liga Perdana musim ini sekalipun kalah hanya satu perlawanan dan mengumpul 97 mata. Namun warga Jerman itu menegaskan ia tidak semua mengenainya.

“Saya seorang manusia biasa dan jika saya duduk dalam satu bilik sekarang memikirkan ia semuanya mengenai saya, sayalah alasannya, jika saya melihat diri saya sebagai seorang yang sering kalah atau seumpamanya, maka ia pasti satu masalah. Tapi saya tidak memandangnya sebegitu.”


KLOPP melayan soalan wartawan di Wanda Metropolitano semalam. — FOTO EPA

Klopp, 51, menambah: “Perkara yang sudah berlalu, bagi saya masih ada keyakinan boleh menanganinya, jadi semuanya bagus.

“Kini saya faham mengenai tuah – jika anda bekerja keras... ia bukanlah karier yang tidak bertuah dan ia masih belum berakhir, saya masih ada banyak masa!”

Liverpool tewas 1-3 kepada Real di Kiev tahun lalu namun Klopp pantas menyatakan pasukannya kini berbeza dengan kehadiran Alisson Becker, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri selepas itu. Virgil van Dijk hanya berpindah ke Anfield pada pertengahan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 10:10 AM