Elavarasan mahu anak buah terus pamer prestasi memberangsangkan. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PDRM menyasarkan kemenangan selesa ke atas UKM FC pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, pada 15 Jun depan.

Ketua jurulatihnya, E Elavarasan, berkata, walaupun tewas pada lawan yang sama ketika saingan pusingan pertama namun dia yakin kali ini The Cops mampu menebus kekecewaan dalam memastikan mata maksimum menjadi milik pasukan.

Katanya, hanya kemenangan mampu untuk pasukan itu melonjak kedudukan dari tangga kelapan sekali gus mendaki anak tangga untuk merapatkan jurang dengan empat pasukan teratas carta.

Menurutnya, komitmen tinggi pemain sepanjang latihan pada bulan Ramadan dituntut sebaik sambutan Aidilfitri untuk memastikan momentum prestasi mampu melonjak ketika berdepan UKM FC kelak.

"Sejak saya mengambil alih pasukan, prestasi The Cops amat memberangsangkan menerusi empat kemenangan, dua seri dan agak kecewa mengalami satu kekalahan.

"Apapun rekod pencapaian pada tujuh perlawanan terakhir ini jelas turut memberi impak terhadap motivasi dan kesungguhan pemain untuk tampil lebih agresif bagi memburu kemenangan," katanya.

E Elavarasan berkata, kekalahan kepada Terengganu FC II, dua minggu lalu harus dijadikan pengajaran dalam misi untuk tidak kecewa lagi buat kali kedua berturut-turut.

Sehubungan itu, dia mahu pemain pantas melupakan kekalahan 0-1 terbabit sebaliknya memfokuskan pada aksi bertemu lawan dan enam baki saingan liga selepas itu untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Lebih penting baginya peluang untuk mengintai dua tempat teratas Liga Perdana masih belum tertutup untuk mara ke Liga Super 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 3:50 PM