POCHETTINO (kanan) mengucap tahniah kepada Juergen Klopp ketika pemain Liverpool menyerbu padang untuk meraikan kemenangan mereka. — FOTO EPA
AFP

MAURICIO Pochettino tetap mengunci mulut mengenai masa depannya sebagai jurulatih Tottenham Hotspur selepas pasukannya kalah di tangan Liverpool pada final Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pengendali dari Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Itali, Juventus dan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich namun mencadangkan beliau mungkin kekal untuk mengemudi Spurs ke satu lagi final selepas kekalahan 0-2 di Madrid.

“Apabila anda mengharungi pengalaman ini anda mahu melakukannya sekali lagi. Saya harap kami boleh melakukannya sekali lagi pada masa depan,” kata Pochettino kepada BT Sport.

“Ia mengenai mencuba, ia mengenai percaya, ia mengenai membentuk skuad dan saya harap ia berlaku sekali lagi dalam masa terdekat.”


POCHETTINO (tengah) menyatakan sesuatu kepada pengadil Damir Skomina ketika final di Madrid, awal pagi tadi. — FOTO EPA

Spurs ketinggalan menerusi penalti Mohamed Salah hampir sebaik selepas sepak mula namun bertindak lebih baik pada babak kedua sebelum Divock Origi memusnahkan impian mereka dengan gol kedua.

“Anda tidak pernah percaya selepas seminit anda ketinggalan 0-1, situasi itu bukan saja mengubah perancangan kami, ia turut mengubah dinamik (perlawanan).”

“Saya amat bangga dengan usaha ini, bagaimana kami berjuang. Kami bermain dengan amat bagus terutama pada babak kedua. Saya terlalu bangga, tiada apa lagi saya boleh katakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:21 AM