AZLAN puas selepas menjuarai perlumbaan 2 kategori ASB1000. FOTO/FACEBOOK Azlan Shah Kamaruzaman
HarianMetro

PELUMBA ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman menjuarai perlumbaan 2 kategori ASB1000 pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Chang semalam dengan penuh dramatik.

Langkah berani pelumba berpengalaman negara itu untuk melakukan pecutan pada selekoh terakhir membolehkannya memintas Broc Parkes dari Australia, sekali gus meraih gelaran keduanya di bumi Buriram.

Kelmarin, Azlan yang menunggang jentera BMW S1000 RR, turut melakar nama sebagai juara Perlumbaan 1 dan semalam dia melengkapkan gelaran berganda itu menerusi kemenangan bergaya pada Perlumbaan 2.

Detik dramatik itu berlaku kira-kira 150 meter daripada garisan penamat yang menyaksikan Azlan berjaya memintas Parkes yang seakan-akan sudah begitu yakin untuk memenangi perlumbaan.

Kesilapan yang dilakukan oleh pelumba Parkes itu yang membuka ruang ketika mengharungi selekoh terakhir dipergunakan sepenuhnya oleh Azlan untuk memecut laju bagi menempatkan dirinya di hadapan.

Langkah bijak yang dimbil oleh pelumba 34 tahun itu membuahkan hasil dan sebaik berjaya memintas dua pelumba di hadapannya itu, dia memecut pada tahap maksimum sehingga ke garisan penamat.

“Ini kejayaan yang sangat bermakna buat pasukan kami, lebih-lebih lagi selepas memenangi kedua-dua perlumbaan bagi kelas ASB1000.

“Kemenangan ini adalah hasil daripada sikap sabar ketika mengharungi perlumbaan serta bijak mengawal keadaan. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya dan juga pasukan,” jelas Azlan.

Pada perlumbaan tersebut, Azlan melakukan catatan masa keseluruhan 20:59.735s dengan kelajuan maksimum 293.7 kilometer sejam.

Parkes yang memenangi perlumbaan Pusingan 2 di The Bend Motorsports Park, Australia April lalu melakukan catatan masa 20:59.870s manakala pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) di tempat ketiga dengan 20:59.874s.

Walaupun tewas, Broc masih kekal memimpin kedudukan keseluruhan pemandu dengan mengumpul 105 mata.

Terdahulu, dalam saingan kelas SS600, pelumba Thailand, Peerapong Boonlert yang menggalas cabaran pasukan Yamaha Thailand Racing Team, turut melakar gelaran juara berganda apabila memenangi Perlumbaan 2 petang ini.

Pelumba Malaysia, Muhamad Adam Mohd. Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) semakin memperlihatkan kematangan apabila sekali lagi muncul naib juara dengan catatan masa 20:01.88s, manakala pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia Kasma Daniel Kasmayudin di tempat ketiga dengan masa 20:05379s.

“Peerapong ternyata terlalu pantas untuk dikejar. Kepantasannya sangat konsisten serta bijak mengawal perlumbaan,” jelas Adam.

Menurutnya, mereka akan terus berusaha untuk menyekat penguasaan pelumba Thailand itu pada pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:30 PM